Strategi kelangsungan tadika swasta di luar bandar Sabah dalam menghadapi dasar peluasan prasekolah dan Kurikulum Prasekolah 2026 (KP2026)
Keywords:
tadika swasta, luar bandar Sabah, KP2026, dasar peluasan prasekolahAbstract
Pelaksanaan Dasar Peluasan Prasekolah oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta pengenalan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 yang diiringi oleh Kurikulum Prasekolah 2026 (KP2026), yang berkuat kuasa mulai Januari 2026 menggantikan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK Semakan 2017), telah memberi impak signifikan terhadap tadika swasta di kawasan luar bandar Sabah. Kertas konsep ini bertujuan mengenal pasti strategi kelangsungan yang berpotensi digunakan oleh tadika swasta di luar bandar Sabah dalam menghadapi cabaran berganda: persaingan daripada prasekolah kerajaan bersubsidi dan keperluan penyesuaian kurikulum baharu. Menggunakan pendekatan sintesis naratif tematik terhadap literatur yang relevan, perbincangan menumpukan kepada tiga aspek utama iaitu cabaran operasi, kekuatan unik tadika swasta, serta strategi adaptasi yang berpotensi memastikan kelangsungan institusi tersebut. Kerangka konseptual kajian bersandarkan Teori Kelangsungan Organisasi (Organizational Resilience Theory) dan Model Pasaran Pendidikan (Educational Market Competition Model). Implikasi kajian ini relevan kepada penggubal dasar, pengendali tadika swasta, serta komuniti luar bandar Sabah bagi memastikan kepelbagaian pilihan pendidikan awal kanak-kanak dapat dikekalkan.










