Integrasi kecerdasan buatan dalam pemerolehan tatabahasa bahasa Melayu di sekolah rendah: Analisis kandungan terhadap aplikasi, pedagogi dan cabaran linguistik
Keywords:
Kecerdasan Buatan, Tatabahasa Bahasa, Pembelajaran Adaptif, Pemprosesan Bahasa Semula Jadi, Pedagogi Digital, Literasi Bahasa MelayuAbstract
Perkembangan pesat Kecerdasan Buatan (AI) telah membawa perubahan signifikan dalam bidang pendidikan, termasuk pengajaran dan pembelajaran tatabahasa Bahasa Melayu di sekolah rendah. Walau bagaimanapun, potensi AI dalam menyokong pemerolehan tatabahasa masih memerlukan penelitian yang lebih menyeluruh dari perspektif pedagogi dan linguistik. Oleh itu, kajian ini bertujuan menganalisis integrasi AI dalam pemerolehan tatabahasa Bahasa Melayu dengan memfokuskan aplikasi AI, implikasi pedagogi serta cabaran pelaksanaannya. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui analisis kandungan terhadap literatur yang diperoleh daripada pangkalan data akademik terpilih dan dianalisis secara tematik. Dapatan kajian mengenal pasti empat tema utama, iaitu penggunaan AI dalam pembelajaran adaptif, aplikasi Pemprosesan Bahasa Semula Jadi (NLP) dalam analisis tatabahasa, penjanaan bahan pengajaran berasaskan AI serta cabaran yang melibatkan ketepatan linguistik, kesediaan guru dan infrastruktur digital. Secara keseluruhannya, AI berpotensi meningkatkan keberkesanan pembelajaran tatabahasa melalui pengalaman pembelajaran yang lebih diperibadikan, interaktif dan responsif. Namun demikian, keberkesanan penggunaannya bergantung kepada pembangunan model AI yang mengambil kira ciri-ciri linguistik Bahasa Melayu, peningkatan kompetensi guru serta pelaksanaan yang beretika. Kajian ini menyumbang kepada pengukuhan pengetahuan tentang integrasi AI dalam pendidikan Bahasa Melayu dan menyediakan asas bagi pembangunan penyelidikan serta amalan pedagogi yang lebih sistematik pada masa hadapan.










