Penerimaan dan keberkesanan mesin pengasah elektrod tungsten (MPET) dalam meningkatkan kompetensi kimpalan TIG pelajar TVET
Keywords:
Mesin Pengasah Elektrod Tungsten, Kimpalan TIG, Kompetensi Pelajar, Keselamatan BengkelAbstract
Perkembangan teknologi automasi dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menuntut penggunaan peralatan yang lebih cekap, selamat dan ergonomik bagi meningkatkan kompetensi amali pelajar. Kajian ini bertujuan untuk menilai tahap penerimaan dan keberkesanan penggunaan Mesin Pengasah Elektrod Tungsten (MPET) dalam proses pengasahan elektrod bagi aplikasi kimpalan Tungsten Inert Gas (TIG) di Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Perak. MPET dibangunkan dengan mengintegrasikan fungsi pengasahan dwi-elektrod secara serentak, perumah keselamatan bersepadu, dan reka bentuk modular yang stabil bagi mengatasi kelemahan kaedah pencanai meja konvensional. Pendekatan kuantitatif menerusi kaedah tinjauan diaplikasikan terhadap sampel yang melibatkan keseluruhan 45 orang pelajar Semester 3 Diploma Kejuruteraan Mekanikal. Data primer dikumpul menggunakan instrumen soal selidik berstruktur dan dianalisis secara statistik deskriptif (skor min dan sisihan piawai) menggunakan perisian IBM SPSS versi 25. Hasil kajian empirikal menunjukkan kesemua dimensi yang dinilai mencatatkan interpretasi skor min pada tahap yang tinggi (julat 4.26 hingga 4.53), merangkumi aspek kepuasan pengguna, keberkesanan pengasahan, keselamatan operasi, kemudahan penggunaan, serta elemen ergonomik. Penggunaan MPET terbukti berjaya menghasilkan profil pengasahan elektrod yang seragam, mengekalkan kestabilan arka kimpalan, dan memitigasi risiko kemalangan fizikal di bengkel. Impak kajian ini membuktikan bahawa MPET berpotensi menyokong pembelajaran berasaskan kemahiran serta membudayakan amalan keselamatan industri di institusi TVET.










