Penilaian aplikasi mudah alih i-UrusDiri sebagai sokongan pembelajaran pengurusan diri MBPK kategori masalah pembelajaran
Keywords:
Teknologi Pendidikan, Aplikasi Pembelajaran Mudah Alih, Kemahiran Pengurusan Diri, Murid Berkeperluan Pendidikan Khas Masalah PembelajaranAbstract
Aplikasi Mudah Alih i-UrusDiri merupakan inovasi pendidikan yang dibangunkan bagi menyokong pengajaran dan pembelajaran (PdP) kemahiran pengurusan diri Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) kategori Masalah Pembelajaran di sekolah rendah. Penggunaan bahan bantu mengajar konvensional seperti buku, kad imbas dan model fizikal sering menghadapi kekangan daripada aspek penyampaian kandungan yang interaktif, fleksibiliti penggunaan serta keupayaan mengekalkan penglibatan murid dalam pembelajaran. Sehubungan itu, kajian ini bertujuan menilai Aplikasi Mudah Alih i-UrusDiri sebagai bahan sokongan PdP kemahiran pengurusan diri. Kajian ini menggunakan reka bentuk kajian kuantitatif dan kualitatif melalui soal selidik serta maklum balas daripada guru dan ibu bapa. Dapatan kajian menunjukkan bahawa aplikasi ini menerima penilaian yang positif daripada kedua-dua kumpulan responden. Guru dan ibu bapa berpandangan bahawa aplikasi ini bersesuaian digunakan sebagai bahan bantu mengajar dan bahan bantu belajar kerana menyediakan kandungan yang lebih sistematik, menarik serta mudah difahami. Analisis tematik turut mendapati bahawa penggunaan elemen multimedia seperti visual, audio dan aktiviti interaktif berpotensi meningkatkan penglibatan murid dalam proses pembelajaran. Selain itu, responden mencadangkan beberapa penambahbaikan, termasuk pengayaan elemen multimedia, penambahan kandungan pembelajaran serta peningkatan prestasi teknikal aplikasi bagi memperkukuh pengalaman pengguna. Secara keseluruhannya, dapatan kajian menunjukkan bahawa Aplikasi Mudah Alih i-UrusDiri berpotensi menjadi bahan sokongan PdP yang praktikal bagi kemahiran pengurusan diri MBPK kategori Masalah Pembelajaran di sekolah rendah. Dapatan ini turut menyediakan panduan yang berguna untuk penambahbaikan dan pembangunan aplikasi pendidikan mudah alih dalam bidang pendidikan khas pada masa hadapan.










