Penglibatan ketenteraan Uthmaniyyah era Murad III (1574-1595) dalam Perang Uthmaniyyah-Safawiyyah (1578-1590): Satu sorotan susastera
Keywords:
Kerajaan Uthmaniyyah, Murad III, Perang Uthmaniyyah-Safawiyyah, Sejarah Ketenteraan, HistoriografiAbstract
Artikel ini membincangkan penglibatan ketenteraan Kerajaan Uthmaniyyah era Murad III (1574-1595) dalam Perang Uthmaniyyah-Safawiyyah (1578-1590) melalui pendekatan sorotan susastera. Konflik Uthmaniyyah-Safawiyyah pada penghujung abad ke-16M merupakan suatu peristiwa penting dalam sejarah ketenteraan Uthmaniyyah yang memperlihatkan hubungan antara dinamika politik pemerintahan, kepentingan geopolitik serta strategi ketenteraan dalam menghadapi persaingan kuasa serantau. Artikel ini bertujuan untuk menganalisis perkembangan historiografi berkaitan penglibatan ketenteraan Uthmaniyyah era Murad III, di samping mensintesiskan perbincangan sarjana terdahulu berkaitan latar politik dan ketenteraan sebelum pemerintahan Murad III, dinamika politik pemerintahan Murad III serta kempen ketenteraan Uthmaniyyah dalam Perang Uthmaniyyah-Safawiyyah (1578-1590). Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui reka bentuk kajian sejarah dan analisis kandungan. Data kajian diperoleh melalui penelitian terhadap sumber primer dan sekunder yang berkaitan dengan pemerintahan Murad III, sejarah ketenteraan Uthmaniyyah serta konflik Uthmaniyyah-Safawiyyah. Proses analisis data dilaksanakan melalui kaedah kritikan sumber sejarah yang melibatkan kritikan luaran dan kritikan dalaman bagi menilai kesahan, autoriti serta kebolehpercayaan sumber yang digunakan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa penglibatan ketenteraan Uthmaniyyah dalam Perang Uthmaniyyah-Safawiyyah tidak dapat dipisahkan daripada perkembangan politik dan ketenteraan yang berlaku sebelum serta sepanjang pemerintahan Murad III. Sorotan terhadap literatur terdahulu memperlihatkan tiga dapatan utama, iaitu pertama, perkembangan struktur politik dan ketenteraan Uthmaniyyah sebelum era Murad III menjadi asas kepada pembentukan strategi peperangan; kedua, dinamika politik pemerintahan Murad III khususnya hubungan antara sultan, pembesar dan pentadbir tertinggi kerajaan mempengaruhi keputusan ketenteraan; dan ketiga, kempen ketenteraan Uthmaniyyah terhadap Safawiyyah memperlihatkan keupayaan kerajaan tersebut memanfaatkan perubahan politik serantau bagi memperkukuhkan kedudukan strategiknya. Artikel ini menyumbang kepada pemahaman historiografi Uthmaniyyah dengan memperlihatkan hubungan antara politik, kepimpinan dan ketenteraan dalam konteks konflik Uthmaniyyah-Safawiyyah pada penghujung abad ke-16M.










