Penerapan teori spiritual imam al-Ghazali dalam analisis karya sastera kontemporari
Keywords:
Imam al-Ghazali, Teori Spiritual, Karya Sastera KontemporariAbstract
Teori spiritual Imam al-Ghazali menawarkan satu pendekatan kerohanian yang mendalam untuk memahami pembentukan jiwa, penyucian hati dan pembangunan akhlak manusia. Dalam konteks kajian sastera kontemporari, teori ini membuka ruang analisis baharu terhadap karya yang memaparkan konflik batin, transformasi kendiri dan perjalanan kerohanian watak. Pendekatan spiritual al-Ghazali menekankan hubungan antara elemen dalaman manusia seperti hati, akal, ruh dan nafs yang menjadi asas kepada keseimbangan rohani dalam kehidupan individu. Artikel ini bertujuan meneroka penerapan Teori Spiritual Imam al-Ghazali yang berasaskan empat elemen asas tersebut dalam memahami pembentukan jiwa dan transformasi watak dalam karya sastera kontemporari. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif dengan menganalisis kandungan melalui sumber kepustakaan. Hasil kajian mendapati bahawa teori spiritual al-Ghazali bukan sahaja berfungsi sebagai kerangka kerohanian, tetapi juga sebagai alat kritikan yang berkesan untuk menelusuri dimensi batin serta konflik nilai dalam teks sastera. Penerapan teori ini membantu menonjolkan aspek kerohanian yang sering terpinggir dalam kritikan moden yang lebih bersifat struktural atau materialistik. Kajian ini mencadangkan agar teori ini terus diperluas penggunaannya dalam penyelidikan sastera, psikologi dan pendidikan dengan harapan lebih banyak pengkaji meneroka pendekatan kritikan yang menekankan nilai spiritual, akhlak dan keseimbangan jiwa.










