Kepimpinan Nur al-Din dalam pengukuhan struktur politik Kerajaan Zankiyyah di Syam
Keywords:
Nur al-Din Mahmud, Kerajaan Zankiyyah, Syam, Transformasi Politik, LegitimasiAbstract
Abad ke-12M merupakan satu fasa yang penting dalam sejarah politik Islam apabila wilayah Syam berhadapan dengan perpecahan kuasa dalaman serta ancaman berterusan daripada tentera Salib. Dalam konteks tersebut, Nur al-Din Mahmud muncul sebagai pemerintah Kerajaan Zankiyyah yang memainkan peranan penting dalam membentuk kestabilan politik dan menyusun semula struktur pemerintahan di Syam antara tahun 1146 hingga 1174. Walaupun kepimpinannya sering dikaitkan dengan gerakan jihad dan pencapaian ketenteraan, peranannya dalam membina legitimasi politik, memperkukuhkan institusi pemerintahan dan mengubah hubungan kuasa di Syam masih kurang diberikan perhatian. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk mengkaji latar belakang kerajaan Zankiyyah dan Nur al-Din Mahmud, menganalisis kepimpinan Nur al-Din dalam pengukuhan struktur politik serta menilai implikasi pemerintahannya terhadap dinamika politik Syam. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui kaedah kajian sejarah dan analisis kandungan berdasarkan sumber primer dan sekunder yang berkaitan. Data dianalisis secara tematik, deskriptif dan naratif dengan menggunakan perbandingan historiografi bagi menilai keselarasan serta kredibiliti sumber. Dapatan kajian mendapati pengukuhan struktur politik Zankiyyah tidak hanya bergantung kepada kejayaan ketenteraan semata-mata malah ia turut dipengaruhi oleh pengiktirafan Khalifah Abbasiyyah, penginstitusian keadilan, penyusunan pentadbiran dan ketenteraan, kerjasama dengan golongan ulama serta pembangunan institusi sosial dan keagamaan. Penyatuan Aleppo dan Damsyik pada tahun 1154 juga turut menyebabkan sumber politik, kewangan dan ketenteraan dapat diselaraskan dengan lebih berkesan. Kajian ini menyimpulkan bahawa kepimpinan Nur al-Din Mahmud telah membentuk sebuah struktur pemerintahan yang lebih tersusun dan stabil serta menyediakan asas penting kepada perkembangan politik Kerajaan Ayyubiyyah selepas kewafatannya.










