Signifikan ilmu logik dalam penggunaan media sosial
Keywords:
Ilmu logik, media sosial, budaya tularAbstract
Perkembangan teknologi maklumat telah membawa perubahan besar dalam dunia interaksi manusia dengan kemunculan pelbagai medium media sosial seperti facebook, twitter, instagram, tik tok dan sebagainya. Kemunculan media sosial yang pada asalnya untuk kemudahan dan manfaat manusia kini dilihat turut menyumbang kepada budaya negatif dalam masyarakat. Akibat keghairahan manusia tanpa disedari budaya tular kian membarahsehingga berleluasanya penyebaran maklumat palsu, fitnah memfitnah dan laungan bersuara tanpa batasan di media sosial. Kerancakan budaya tular ini dilihat memerlukan kepada usaha serius terhadap penguasaan ilmu logik yang merupakan salah satu disiplin ilmu dalam membentuk pemikiran manusia. Justeru makalah ini bertujuan untuk menganalisis signifikan ilmu logik dalam konteks masyarakat kini yang terpaksa berhadapan dengan lambakan isu tular di media sosial. Kajian ini bersifat kualitatif dengan menggunakan metode pengumpulan data secara dokumentasi dan metode analisis data berdasarkan analisis kandungan (content analysis). Hasil kajian merumuskan bahawa ilmu logik sangat penting untuk diaplikasi bagi mendepani budaya tular di media sosial kini menerusi peranannya dalam memandu akal manusia berfikir secara sistematik, seterusnya memandu akal manusia dalam membezakan kebenaran dan kesalahan dan terakhir melatih akal manusia berfikir secara kritis. Hal ini dilihat amat relevan untuk diaplikasi khususnya dalam membangun masyarakat yang berfikiran kritis.










