Keselarasan etika pemasaran Islam dan maqasid al-Shariah dalam pengawalseliaan pengiklanan di Malaysia: Analisis KPDN, JAKIM dan ASA
Keywords:
Etika pemasaran Islam, Maqasid al-Shariah, pengawalseliaan pengiklanan, pengiklanan patuh Syariah, perlindungan pengguna, MalaysiaAbstract
: Perkembangan industri pengiklanan di Malaysia telah mewujudkan pelbagai bentuk promosi yang semakin kompleks sejajar dengan kemajuan teknologi digital dan media sosial. Walau bagaimanapun, perkembangan tersebut turut menimbulkan pelbagai isu etika seperti penipuan, manipulasi maklumat, eksploitasi pengguna, penyalahgunaan unsur agama dan kandungan yang bercanggah dengan nilai moral masyarakat. Dalam konteks negara majoriti Muslim, pematuhan terhadap prinsip etika pemasaran Islam dan Maqasid al-Shariah merupakan aspek penting bagi memastikan aktiviti pengiklanan dilaksanakan secara bertanggungjawab serta selaras dengan tuntutan Syariah. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk menganalisis keselarasan pengawalseliaan pengiklanan di Malaysia dengan prinsip etika pemasaran Islam dan Maqasid al-Shariah melalui penelitian terhadap Kod Amalan Pengiklanan Malaysia oleh Advertising Standards Authority Malaysia (ASA), Garis Panduan Mengelakkan Iklan Palsu dan Mengelirukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), serta Garis Panduan Kandungan Berunsur Islam dalam Media Baharu oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif berbentuk analisis dokumen dengan meneliti kandungan ketiga-tiga garis panduan tersebut. Data dianalisis secara tematik berdasarkan kerangka etika pemasaran Islam yang merangkumi kejujuran, amanah, ketelusan, tanggungjawab sosial, keadilan, perlindungan pengguna, kesopanan, pemeliharaan nilai moral, perlindungan hak dan privasi serta sensitiviti agama. Dapatan kajian menunjukkan bahawa ketiga-tiga garis panduan mempunyai tahap keselarasan yang tinggi dengan prinsip etika pemasaran Islam. Kajian turut mendapati bahawa elemen-elemen tersebut menyumbang kepada pemeliharaan agama, nyawa, akal, maruah manusia dan harta sebagaimana yang digariskan dalam Maqasid al-Shariah. Kajian ini mencadangkan pembangunan kerangka pengawalseliaan pengiklanan yang lebih holistik berasaskan etika pemasaran Islam dan Maqasid al-Shariah bagi memperkukuhkan integriti industri pengiklanan serta melindungi kepentingan masyarakat secara menyeluruh.










