Meneroka keperluan ABBM dalam pengajaran reka bentuk elektronik RBT tingkatan 2 berdasarkan perspektif guru: Dapatan kajian kualitatif
Keywords:
Alat Bahan Bantu Mengajar, Reka Bentuk Elektronik, RBT Tingkatan 2, pengajaran berfasa, Teori Beban KognitifAbstract
Kajian ini bertujuan untuk meneroka keperluan Alat Bahan Bantu Mengajar (ABBM) dalam pengajaran tajuk Reka Bentuk Elektronik bagi mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) Tingkatan 2 berdasarkan perspektif guru. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif berbentuk kajian kes yang melibatkan tiga orang guru RBT yang dipilih melalui pensampelan bertujuan. Data kajian dikumpulkan melalui temu bual separa berstruktur dan dianalisis menggunakan analisis tematik dengan bantuan perisian ATLAS.ti. Dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat beberapa cabaran utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran, khususnya dari aspek pemahaman konsep abstrak dalam elektronik seperti fungsi mikropengawal. Murid juga didapati mengalami kesukaran untuk memindahkan pengalaman amali kepada penulisan konsep secara tepat. Selain itu, kit pembelajaran sedia ada didapati kurang jelas, tidak autentik serta tidak mencerminkan situasi dunia sebenar, sekali gus menjejaskan kefahaman murid. Kajian ini turut mendapati bahawa terdapat keperluan yang tinggi terhadap ABBM yang lebih autentik, mesra murid dan berasaskan konteks kehidupan sebenar. Guru juga mencadangkan penggunaan pendekatan pengajaran berfasa serta integrasi teknologi digital seperti simulasi bagi membantu meningkatkan kefahaman murid terhadap konsep elektronik yang kompleks. Rumusannya, dapatan kajian menunjukkan bahawa ABBM yang direka bentuk secara sistematik, berstruktur dan berasaskan prinsip Teori Beban Kognitif (Cognitive Load Theory, CLT) berpotensi mengurangkan beban kognitif yang tidak diperlukan (extraneous cognitive load), mengurus kerumitan kandungan pembelajaran (intrinsic cognitive load) serta menyokong pembinaan skema pengetahuan (germane cognitive load), sekali gus meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran Reka Bentuk Elektronik. Kajian ini memberi implikasi penting terhadap pembangunan ABBM yang lebih inovatif, kontekstual dan berpusatkan murid dalam mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi.










