Analisis konseptual elemen itqān dalam pembentukan sahsiah penghafaz al-Quran: Kajian literatur sistematik
Keywords:
Itqān, SLR, sahsiah, HafazanAbstract
Konsep itqān dalam Islam merujuk kepada pelaksanaan sesuatu amalan dengan ketelitian, kesungguhan, dan kesempurnaan, yang menjadi asas kepada pembentukan sahsiah seimbang dan berakhlak mulia. Dalam Al-Quran, itqān bukan sahaja merujuk kepada ketelitian dalam kerja, tetapi juga sebagai prinsip hidup yang membimbing manusia mencapai kecemerlangan sahsiah melalui disiplin, kesungguhan, dan keikhlasan. Namun demikian, perbincangan berkaitan elemen itqān dalam pembentukan penghafaz al-Quran masih kurang dihuraikan secara konseptual dalam literatur semasa. Justeru, kajian ini bertujuan menganalisis secara konseptual elemen-elemen itqan yang diperlukan dalam pembentukan penghafaz al-Quran berdasarkan sorotan literatur Islam dan kajian terdahulu. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif berbentuk analisis dokumen terhadap sumber-sumber primer dan sekunder melalui tinjauan literatur sistematik yang mendapat perhatian pengkaji terkini. Selain itu, penemuan ini membuka peluang untuk merangka kurikulum atau modul pendidikan berteraskan nilai itqan yang terkandung dalam al-Quran demi membentuk sahsiah penghafaz al-Quran yang mutqin. Hasil analisis mendapati bahawa elemen itqān dalam pembentukan penghafaz al-Quran merangkumi aspek keikhlasan niat, disiplin dan kesungguhan dalam murajaah (jidiyyah), ketelitian tajwid (dhãbit) dan makhraj, pengurusan masa yang sistematik, istiqamah dalam hafazan, serta penghayatan akhlak dan adab sebagai penghafaz al-Quran. Kajian ini mencadangkan agar elemen-elemen tersebut dijadikan asas dalam pembangunan modul pendidikan tahfiz bagi melahirkan penghafaz al-Quran yang bukan sahaja mantap hafazannya, tetapi juga seimbang dari sudut spiritual, intelektual dan sahsiah










