Kesedaran dan kebimbangan pelajar institusi pengajian tinggi terhadap status halal perniagaan makanan atas talian di Malaysia
Keywords:
halal, mahasiswa IPT, makanan atas talian, pengguna Muslim, pensijilan halal, e-dagangAbstract
Perkembangan pesat platform penghantaran makanan atas talian seperti GrabFood, FoodPanda dan ShopeeFood telah mengubah corak pembelian pengguna khususnya dalam kalangan mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia. Walau bagaimanapun, peningkatan penggunaan platform digital ini turut menimbulkan kebimbangan berkaitan status halal makanan yang dijual secara atas talian. Kajian ini bertujuan menilai tahap kesedaran halal, mengenal pasti kebimbangan terhadap integriti halal serta menganalisis pengaruh pensijilan halal terhadap kepercayaan dan keputusan pembelian mahasiswa IPT. Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif melalui soal selidik atas talian yang diedarkan kepada 430 responden daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Data dianalisis menggunakan Statistical Package for Social Sciences (SPSS) versi 27 melalui statistik deskriptif. Hasil kajian menunjukkan majoriti responden mempunyai tahap kesedaran halal yang tinggi, namun masih wujud kebimbangan terhadap ketulenan logo halal, sumber ramuan makanan serta ketelusan maklumat halal yang dipaparkan oleh penjual atas talian. Kajian turut mendapati pensijilan halal JAKIM memainkan peranan penting dalam meningkatkan keyakinan pengguna Muslim terhadap pembelian makanan secara digital. Kajian ini memberi implikasi penting kepada pihak berkuasa halal, pengusaha makanan atas talian dan institusi pendidikan dalam memperkukuhkan literasi halal dalam era ekonomi digital.










