Aktiviti fizikal adaptif sebagai medium pembangunan bakat sukan paralimpik murid berkeperluan pendidikan khas
Keywords:
aktiviti fizikal adaptif, sukan paralimpik, murid berkeperluan pendidikan khas, olahraga adaptif, pembangunan bakatAbstract
Aktiviti fizikal adaptif berperanan penting dalam menyediakan peluang penyertaan yang inklusif kepada murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) serta berpotensi menjadi medium pembangunan bakat sukan paralimpik. Artikel ini bertujuan membincangkan peranan aktiviti fizikal adaptif dalam pembangunan bakat sukan paralimpik berdasarkan dapatan kajian pembangunan dan penilaian Modul Latihan Asas Olahraga Adaptif. Kajian menggunakan pendekatan Design and Development Research (DDR) berasaskan Model ADDIE, Model Analisis Keperluan McKillip dan Model USE. Seramai 124 orang guru pendidikan khas di Sarawak terlibat dalam fasa analisis keperluan, manakala penilaian modul melibatkan pakar, guru pendidikan khas dan murid melalui kajian rintis serta kuasi eksperimen. Data dianalisis menggunakan statistik deskriptif dan analisis tematik. Dapatan menunjukkan bahawa guru mempunyai tahap keperluan yang tinggi terhadap pembangunan modul aktiviti fizikal adaptif. Penilaian pakar turut mengesahkan bahawa kandungan modul mempunyai tahap kesahan yang tinggi, manakala analisis kebolehgunaan menunjukkan tahap kebergunaan, kemudahgunaan, kemudahpelajaran dan kepuasan pengguna yang sangat tinggi. Dapatan kuasi eksperimen pula menunjukkan bahawa kumpulan rawatan yang menggunakan modul memperoleh peningkatan yang lebih baik berbanding kumpulan kawalan dalam domain psikomotor, kognitif serta sosioemosi dan komunikasi. Kajian ini membuktikan bahawa aktiviti fizikal adaptif yang dilaksanakan secara sistematik mampu meningkatkan penglibatan murid, menyokong perkembangan holistik dan memperkukuh pembangunan bakat sukan paralimpik dalam kalangan MBPK.










