Literasi zakat dalam pembangunan ummah: Perspektif maqasid Syariah
Keywords:
Zakat, Literasi Zakat, Kesejahteraan Ummah, Maqasid Syariah, Pembangunan SosialAbstract
Zakat merupakan instrumen kewangan sosial Islam yang mempunyai peranan signifikan dalam memperkukuh kesejahteraan masyarakat melalui pengagihan kekayaan secara adil dan sistematik. Selain berfungsi sebagai ibadah wajib, zakat juga berupaya menyumbang secara berterusan kepada kemajuan ekonomi, sosial dan pendidikan masyarakat Islam. Artikel konseptual ini bertujuan membincangkan peranan zakat sebagai pemangkin pembangunan ummah berdasarkan dimensi ekonomi, sosial dan pendidikan dengan mencadangkan satu Kerangka Integrasi Literasi Zakat dan Maqasid Syariah. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif dengan melakukan penyelidikan melalui kepustakaan dan sorotan literatur terkini berkaitan zakat, pembangunan sosial dan literasi zakat dalam tempoh tahun 2020 hingga 2025. Dapatan literatur menunjukkan bahawa zakat bukan sahaja membantu mengurangkan kemiskinan dan ketidaksamaan pendapatan, malah mampu memperkukuh pembangunan modal insan melalui pendidikan dan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kewajipan zakat. Artikel ini turut menekankan kepentingan literasi zakat dalam meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai fungsi zakat sebagai instrumen pembangunan ummah yang mampan. Pendekatan zakat produktif dan pendidikan zakat secara berterusan diyakini dapat memperkasakan golongan asnaf serta menyumbang kepada kesejahteraan sosial yang lebih holistik.










