Keberkesanan strategi pembelajaran gallery walk terhadap peningkatan lisan bahasa Melayu
Keywords:
Gallery Walk, Kemahiran Lisan, Bahasa Melayu, Pembelajaran Abad Ke-21, Kuasi-EksperimenAbstract
Kajian ini bertujuan untuk menilai sejauh mana strategi pembelajaran Gallery Walk berpotensi untuk meningkatkan kemahiran lisan murid, khususnya dalam aspek mendengar dan bertutur Bahasa Melayu. Kajian ini menggunakan reka bentuk kuasi-eksperimen yang melibatkan 86 orang murid Tahun 5 di sebuah sekolah jenis kebangsaan di daerah Hulu Selangor. Sampel dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu Kumpulan Eksperimen seramai 43 orang yang menggunakan strategi Gallery Walk, dan Kumpulan Kawalan seramai 43 orang yang menggunakan kaedah tradisional. Data kajian dikumpul melalui instrumen ujian lisan pra dan pasca, pemerhatian menggunakan rubrik, serta borang soal selidik latar belakang sosial. Hasil dapatan ujian-t sampel bebas bagi markah ujian pasca menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan antara Kumpulan Eksperimen (Min=8.860) dan Kumpulan Kawalan (Min=7.186). Selain itu, analisis mendapati faktor latar belakang sosial seperti jantina, pendapatan ibu bapa, dan status perkahwinan penjaga tidak mempunyai pengaruh yang signifikan terhadap pencapaian lisan murid. Kesimpulannya, prosedur tersusun strategi Gallery Walk berasaskan Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21) amat berkesan dalam meningkatkan pelibatan aktif, keyakinan diri, dan kemahiran lisan murid berbanding pendekatan pengajaran tradisional.










