Penghayatan nilai sakinah, mawaddah dan rahmah dalam kalangan ibu bapa berkerjaya: Sorotan awal di negeri Terengganu
Keywords:
Sakinah, mawaddah, rahmah, ibu bapa berkerjaya, konflik kerja-keluarga, perceraianAbstract
Institusi keluarga Islam yang berteraskan nilai sakinah, mawaddah dan rahmah merupakan asas kepada kesejahteraan sosial, namun perubahan sosioekonomi moden telah mengubah dinamika kehidupan berkeluarga, khususnya dalam kalangan ibu bapa berkerjaya. Peningkatan tuntutan kerjaya, tekanan ekonomi dan perubahan gaya hidup telah menjejaskan penghayatan nilai-nilai tersebut, yang dapat dilihat melalui peningkatan kadar perceraian di Malaysia, khususnya di Terengganu, sekali gus mencerminkan jurang antara idealisme konsep keluarga Islam dengan realiti pengamalan dalam masyarakat. Sehubungan itu, kajian ini bertujuan untuk menganalisis secara kritikal dapatan kajian literatur berkaitan konflik kerja-keluarga dan perceraian dalam kalangan ibu bapa berkerjaya serta implikasinya terhadap nilai sakinah, mawaddah dan rahmah dalam kehidupan berkeluarga. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui kaedah analisis literatur dengan mensintesis sumber sekunder seperti artikel jurnal, prosiding, tesis dan laporan rasmi yang relevan. Data dianalisis menggunakan analisis tematik bagi mengenal pasti pola dan hubungan antara pemboleh ubah yang dikaji. Dapatan kajian menunjukkan bahawa konflik kerja–keluarga, tekanan peranan, kelemahan komunikasi dan ketidakstabilan emosi merupakan faktor utama yang menyumbang kepada konflik rumah tangga dan perceraian. Dalam konteks ini, dapatan mencadangkan bahawa konflik keluarga yang berpanjangan berpotensi menjejaskan pengamalan nilai sakinah, mawaddah dan rahmah dalam kehidupan berkeluarga. Oleh itu, kajian ini mencadangkan pembangunan kerangka konseptual yang lebih sistematik dan kontekstual bagi memperkukuh institusi keluarga Muslim, di samping mengisi jurang penyelidikan melalui kajian empirikal pada masa hadapan.










