Kajian ḍabṭ dan rasm al-Quran MSMA002 di Pusat Manuskrip Madrasah Al-Ahmadian: Fokus surah al-An'am, al-A'raf dan al-Anfal
Keywords:
Manuskrip al-Quran, MSMA002, Rasm Uthmani, Dabt, Madrasah al-Ahmadiah, Tradisi KeilmuanAbstract
Kajian ini meneliti aspek Rasm (penulisan) dan Dabt (tanda baca) dalam manuskrip al-Quran tempatan yang tersimpan di Pusat Manuskrip Madrasah al-Ahmadiah, dengan fokus khusus kepada kod manuskrip MSMA002 melibatkan Surah Al-An’am, Al-A’raf, and Al-Anfal. Ilmu Rasm dan Dabt merupakan tunjang utama dalam pemeliharaan ketulenan mushaf al-Quran merentasi zaman. Sebagai sebuah institusi pengajian pondok yang mempunyai sejarah panjang dalam tradisi keilmuan, Madrasah al-Ahmadiah memainkan peranan penting sebagai pusat dokumentasi warisan intelektual Islam. Kajian ini menggunakan metodologi kualitatif melalui kaedah analisis dokumen dan observasi fizikal terhadap naskhah manuskrip bagi memperoleh data yang holistik berkaitan ciri-ciri penulisan dan sistem tanda baca yang digunakan. Hasil kajian awal mendapati bahawa manuskrip MSMA002 mempamerkan pola penulisan kata yang unik, merangkumi aspek al-hadhf (pengguguran), al-ziyadah (penambahan), dan al-ibdal (penukaran), di samping penggunaan sistem baris dan titik yang mencerminkan pengaruh tradisi penulisan al-Quran di Alam Melayu. Keberadaan manuskrip ini bukan sahaja membuktikan ketelitian ulama terdahulu dalam menyalin kalam Allah, malah ia menyumbang kepada pemerkasaan khazanah keilmuan Islam serta kelangsungan budaya ilmu dalam masyarakat setempat. Kajian ini diharap dapat menjadi rujukan ilmiah dalam usaha memperkenalkan serta mendokumentasikan manuskrip al-Quran tempatan secara lebih sistematik.










