Motivasi atlet ragbi SMK Telok Mas Akademi Ragbi Melaka: Analisis kualitatif berdasarkan teori atribusi dan hierarki keperluan Maslow
Keywords:
motivasi intrinsik, atlet sekolah, kejurulatihan, analisis kualitatif, psikologi sukanAbstract
Kajian ini bertujuan untuk meneroka faktor-faktor yang mempengaruhi motivasi atlet ragbi sekolah serta peranan jurulatih dalam membentuk dan mengekalkan motivasi tersebut. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui kaedah temu bual berstruktur yang melibatkan lima orang atlet ragbi dan seorang jurulatih berpengalaman dari sebuah akademi ragbi di Melaka. Data dianalisis menggunakan analisis tematik bagi mengenal pasti pola dan tema utama berkaitan motivasi sukan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa motivasi intrinsik, atribusi dalaman terhadap kejayaan dan kegagalan, serta sokongan sosial merupakan faktor utama yang mempengaruhi tahap motivasi atlet. Selain itu, peranan jurulatih sebagai agen sokongan psikologi dan pembentuk persekitaran latihan yang kondusif turut didapati signifikan dalam memastikan motivasi atlet kekal tinggi. Dapatan kajian ini selari dengan Teori Atribusi oleh Weiner dan Teori Hierarki Keperluan Maslow yang menekankan kepentingan faktor dalaman dan pemenuhan keperluan psikologi dalam membentuk motivasi individu. Kajian ini memberi implikasi kepada amalan kejurulatihan dan pengurusan sukan sekolah dalam membina pendekatan yang lebih holistik terhadap pembangunan atlet.










