Hubungan bimbingan instruksional dengan kualiti pengajaran duta guru: Satu kajian rintis
Keywords:
Instructional Coaching, Teaching Quality, School Improvement Specialist Coaches (SISC+), Duta GuruAbstract
Kajian rintis ini dijalankan untuk meneliti hubungan antara bimbingan instruksional oleh pegawai School Improvement Specialist Coaches (SISC+) dengan kualiti pengajaran guru duta guru. Reka bentuk kajian berbentuk kuantitatif dengan menggunakan analisis korelasi Pearson. Seramai 200 orang responden terlibat dalam kajian ini. Dapatan analisis menunjukkan terdapat hubungan positif yang signifikan antara bimbingan instruksional dan kualiti pengajaran (r = .423, p < 0.01). Kekuatan hubungan adalah pada tahap sederhana, menunjukkan bahawa semakin tinggi bimbingan instruksional diterima, semakin meningkat kualiti pengajaran guru. Walau bagaimanapun, hubungan sederhana ini berkemungkinan dipengaruhi oleh faktor lain seperti kesediaan guru, komitmen profesional, program pembangunan profesionalisme berimpak tinggi serta sokongan daripada pihak pentadbir sekolah. Perbincangan dapatan menunjukkan penemuan ini selari dengan beberapa kajian lepas yang membuktikan wujudnya hubungan signifikan antara bimbingan instruksional dan kualiti pengajaran, walaupun tahap kekuatan hubungan berbeza-beza. Kajian luar negara turut menegaskan peranan penting pembimbing instruksional dalam meningkatkan kualiti pengajaran, namun terdapat juga dapatan yang bercanggah dengan menunjukkan hubungan negatif atau tiada perbezaan ketara. Justeru, kajian ini mencadangkan agar kajian sebenar mempertimbangkan pemboleh ubah lain seperti motivasi guru, komitmen profesional, kesejahteraan kerja, serta sokongan komuniti sekolah dalam kerangka konseptual bagi memperoleh gambaran yang lebih menyeluruh terhadap faktor yang mempengaruhi kualiti pengajaran guru.










