Pengaruh amalan kepimpinan distributif terhadap komitmen organisasi
Keywords:
Kepimpinan Distributif, Komitmen Organisasi, Kepimpinan PendidikanAbstract
Dasar pendidikan yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia adalah bertujuan untuk membangun modal insan negara melalui pendidikan. Oleh itu, pengetua memainkan peranan penting untuk mencapai matlamat tersebut. Selain itu, guru juga dilihat sebagai individu yang berpengaruh dalam usaha meningkatkan kualiti, pencapaian dan kecemerlangan organisasi. Bagi memahami hubungan antara dua pemboleh ubah ini, satu kajian mengenai amalan kepimpinan distributif pengetua dan komitmen organisasi guru di sekolah menengah kebangsaan telah dijalankan. Tujuan utama kajian adalah bagi mengenal pasti pengaruh kepimpinan distributif terhadap komitmen organisasi. Kajian dijalankan secara kuantitatif menggunakan soal selidik untuk mengutip data. Kajian melibatkan responden seramai 437 orang guru di sekolah menengah kebangsaan seluruh Malaysia. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa tahap kepimpinan distributif pengetua adalah tinggi (M=8.83; SD=0.73), manakala tahap komitmen organisasi dalam kalangan guru adalah sederhana (M=6.51; SD=1.80). Hasil analisis utama menunjukkan bahawa kepimpinan distributif pengetua merupakan faktor peramal yang signifikan terhadap peningkatan komitmen organisasi dalam kalangan guru sekolah menengah kebangsaan pada nilai (R2=0.10) dan nilai b (0.425, p<0.05). Ini menunjukkan bahawa amalan kepimpinan distributif yang berkesan dapat meningkatkan komitmen organisasi guru secara signifikan. Implikasi kajian mencadangkan supaya para pengetua terus berusaha meningkatkan amalan kepimpinan distributif kerana ia secara signifikan menyumbang kepada komitmen organisasi guru yang secara langsung akan menyumbang kepada kecemerlangan pendidikan.










