Peranan Lembaga Zakat Selangor dalam membimbing mualaf melalui modul bersepadu Baitus Salam
Keywords:
Mualaf, Lembaga Zaakat Selangor, Modul Bersepsadu Baitus SalamAbstract
Mualaf merupakan golongan yang memerlukan perhatian khusus selepas memeluk agama Islam kerana mereka sering berhadapan dengan pelbagai cabaran, khususnya dari aspek akidah, emosi, sosial dan ekonomi. Di Negeri Selangor, Lembaga Zakat Selangor memainkan peranan penting dalam membimbing dan melindungi mualaf melalui penubuhan Baitus Salam sebagai pusat perlindungan dan pendidikan khusus kepada saudara baharu. Walaupun pelbagai kajian berkaitan pengurusan dan pembangunan mualaf telah dijalankan, namun penelitian terhadap peranan Modul Bersepadu Baitus Salam dalam memperkukuh penghayatan Islam mualaf masih kurang dibincangkan secara khusus. Sehubungan itu, artikel ini membincangkan peranan LZS dalam membimbing mualaf melalui pelaksanaan Modul Bersepadu Baitus Salam yang diperkenalkan pada tahun 2022. Modul ini dibangunkan bagi memperkukuh kefahaman agama, penghayatan Islam, pembangunan sahsiah serta kemahiran hidup mualaf secara holistik. Artikel ini menggunakan pendekatan kajian kualitatif melalui kaedah kajian kepustakaan dengan merujuk kepada dokumen rasmi, artikel akademik dan kajian-kajian lepas berkaitan pengurusan mualaf di Malaysia. Data dianalisis menggunakan kaedah analisis kandungan secara tematik. Analisis kajian menunjukkan bahawa Modul Bersepadu Baitus Salam berperanan penting dalam membantu mualaf menyesuaikan diri sebagai Muslim baharu melalui pendekatan pembangunan ilmu, pengurusan diri, kepimpinan dan kemahiran kerjaya secara lebih sistematik dan holistik. Walau bagaimanapun, beberapa cabaran masih wujud, khususnya dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan modul secara berterusan. Oleh itu, penambahbaikan terhadap sistem bimbingan dan sokongan kepada mualaf perlu diberi perhatian bagi memastikan golongan ini dapat menghayati Islam secara menyeluruh serta terus berpegang teguh kepada ajaran Islam dalam kehidupan.










