Sekolah agama khas pemacu perubahan beragama komuniti Orang Asli
Keywords:
Dakwah, Muallaf, Orang Asli, Sekolah Agama KhasAbstract
Pendekatan dakwah kepada komuniti Orang Asli mempunyai bentuk dan gaya yang berbeza. Mereka lebih terkesan kepada bentuk dakwah bi al- hal iaitu melalui contoh tauladan dan akhlak. Namun kedudukan mereka yang agak terasing daripada masyarakat awam umumnya, menjadikan faktor kelestarian agama Islam yang dianuti sukar untuk dijaga dan dikembangkan. Justeru perlunya bentuk pendidikan Islam yang lebih terarah dan sistematik untuk memastikan keislaman mereka terjaga. Oleh itu, kajian ini mengkaji peranan Sekolah Agama Khas sebagai pemacu perubahan beragama dalam komuniti muallaf Orang Asli, khususnya di kawasan pedalaman Gua Musang, Kelantan. Fokus kajian adalah untuk memahami proses dakwah, pendekatan pendidikan agama serta cabaran yang dihadapi dalam usaha membentuk penghayatan Islam yang berterusan dalam kalangan masyarakat Orang Asli. Kajian kualitatif ini menggabungkan kajian lapangan dan kajian kepustakaan. Data lapangan diperoleh melalui temu bual tidak berstruktur yang melibatkan muallaf Orang Asli daripada pelbagai peringkat umur, pendakwah berpengalaman dari Islamic Outreach ABIM (IOA) Kelantan, serta pegawai dan penggerak masyarakat daripada agensi agama berkaitan. Data kepustakaan diperolehi daripada pelbagai dokumen bersumber dan berautoriti. Data yang diperolehi dianalisis dengan analisis kandungan untuk mendapatkan maklumat yang bersesuaian dengan kajian. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pendekatan dakwah yang berperingkat, berasaskan kebajikan dan pembinaan kepercayaan merupakan asas penting dalam mendekati masyarakat Orang Asli. Pendidikan agama terhadap anak-anak Orang Asli melalui sistem persekolahan yang berstruktur dan berterusan lebih berkesan dalam membentuk kefahaman dan pengamalan Islam. Walaupun berhadapan dengan cabaran seperti kekangan literasi, pengaruh persekitaran asal, dan kesukaran meyakinkan ibu bapa, pendidikan agama yang konsisten didapati mampu melahirkan agen perubahan dalaman dalam komuniti Orang Asli. Sekolah Agama Khas mampu berfungsi sebagai instrumen strategik dakwah dan pembangunan insan, serta berpotensi menjadi model pendidikan agama yang lestari bagi komuniti muallaf Orang Asli di Malaysia.










