Bentuk-bentuk amalan rasuah di sektor awam: Satu tinjauan awal terhadap persepsi penjawat awam di negeri Sabah
Keywords:
Suapan, Integriti, Hubungan Industri, Etika PekerjaanAbstract
Amalan rasuah merupakan isu kompleks yang sentiasa mendapat perhatian bukan sahaja dalam kalangan akademik, tetapi juga turut menjadi fokus perbincangan dalam kalangan masyarakat, organisasi dan tidak terkecuali ahli politik dan juga pihak kerajaan. Amalan rasuah yang berlaku di sesebuah negara mempunyai pelbagai implikasi negatif terhadap pembangunan dan kemajuan sesebuah negara. Antaranya adalah mampu mengugat keamanan dan seterusnya meruntuhkan sesebuah negara. Berdasarkan kajian lepas, kurang pemahaman mengenai bentuk amalan rasuah telah dikenal pasti mampu mempengaruhi hasrat untuk mengamalkan amalan rasuah ini terutamanya dalam kalangan penjawat awam. Oleh itu, artikel ini membincangkan tentang persepsi penjawat awam mengenai bentuk-bentuk amalan rasuah yang sering diamalkan di persekitaran kerja mereka. Hasil kajian ini menunjukkan wang serta barang berharga adalah bentuk rasuah utama yang dipersepsikan oleh responden kajian ini. Kajian ini turut mendedahkan bahawa kebanyakan para responden tidak menganggap bentuk-bentuk lain seperti pemberian makanan dan minuman, perkhidmatan, undian dan jawatan sebagai satu bentuk rasuah yang utama, sedangkan definisi oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mendefinisikan bentuk-bentuk tersebut adalah sebahagian daripada amalan rasuah. Berdasarkan dapatan kajian ini, dicadangkan beberapa usaha untuk meningkatkan kefahaman terutamanya melalui pendidikan serta kempen berterusan bermula daripada peringkat awal iaitu pendidikan di sekolah rendah sehingga ke peringkat organisasi dan masyarakat.










