Naratif penaklukan Portugis ke atas Melaka (1511) antara keganasan dan misi Kristianisasi: Satu kajian awal
Keywords:
Melaka 1511, Portugis, Keganasan Kolonial, Ideologi Agama, Penaklukan MelakaAbstract
Penaklukan Melaka pada tahun 1511 merupakan titik perubahan penting dalam sejarah Alam Melayu yang menandakan permulaan dominasi kuasa Eropah di Asia Tenggara. Dalam historiografi tempatan, kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka sering dijelaskan sebagai akibat kelemahan dalaman seperti konflik elit, dan sistem feudalisme Melayu. Namun, tafsiran ini banyak dipengaruhi oleh kerangka orientalis yang membingkaikan masyarakat Timur sebagai mundur dan tidak teratur. Kajian ini bertujuan menilai semula naratif penaklukan Melaka dengan memberi perhatian kepada peranan ideologi agama dan unsur keganasan dalam ekspedisi Portugis. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui analisis historiografi dan pembacaan kritis terhadap sumber Portugis serta kajian sarjana kontemporari. Analisis mendapati bahawa naratif kelemahan dalaman Melaka sebahagiannya merupakan konstruksi historiografi yang dipengaruhi oleh tafsiran kolonial. Pada masa yang sama, sumber Portugis menunjukkan bahawa retorika penyebaran agama Kristian dan semangat gospel digunakan sebagai justifikasi moral bagi penaklukan Melaka. Selain itu, tindakan ketenteraan yang melibatkan pembunuhan besar-besaran serta pemusnahan simbol Islam menunjukkan bahawa keganasan memainkan peranan penting dalam proses penaklukan tersebut. Oleh itu, kajian ini berhujah bahawa penaklukan Melaka tidak boleh difahami semata-mata melalui faktor kelemahan dalaman, tetapi perlu dilihat sebagai pertembungan ideologi agama, kepentingan ekonomi dan strategi geopolitik Portugis di rantau ini.










