Penilaian kritikal status hadis dalam manuskrip Melayu MSS 3201 Rawdat al-'Ulama': Pendekatan filologi dan takhrij
Keywords:
Takhrij Hadis, Manuskrip Jawi, MSS 3201 Rawdat al-‘Ulama’, Hadis Fada’il, Warisan Intelektual Ulama MelayuAbstract
Fenomena penyebaran hadis da‘if dan riwayat yang tidak diketahui asal-usulnya dalam teks tradisional Jawi serta wacana keagamaan masyarakat Melayu menimbulkan keperluan mendesak terhadap penilaian semula autoriti sumber hadis dalam tradisi intelektual Alam Melayu. Sorotan literatur menunjukkan bahawa kajian manuskrip Melayu selama ini lebih tertumpu pada aspek kodikologi, filologi dan sejarah teks, manakala analisis takhrij hadis terhadap kandungan manuskrip masih bersifat marginal dan belum dibangunkan secara metodologis. Justeru, kajian ini meneliti manuskrip abad ke-19M MSS 3201 Rawdat al-‘Ulama’, sebuah karya yang menghimpunkan hadis dan riwayat bertemakan fada’il, targhib dan tarhib, melalui integrasi antara analisis manuskrip Melayu dan metod takhrij hadis secara sistematik. Kajian menggunakan pendekatan kualitatif berasaskan analisis dokumen menerusi kajian kepustakaan dengan penerapan kaedah takhrij meliputi penelusuran sumber asal, analisis sanad dan matan serta penentuan status hadis berdasarkan disiplin al-jarh wa al-ta‘dil. Analisis terhadap sampel hadis terpilih menunjukkan kewujudan variasi autoriti riwayat, melibatkan hadis maqbul, hadis mardud dan riwayat yang tidak dapat dikesan sumber asalnya. Dapatan ini memperlihatkan bahawa transmisi hadis dalam manuskrip Jawi tidak berlaku secara homogen, sebaliknya dipengaruhi oleh dinamika intelektual, pedagogi dan budaya keagamaan tempatan. Kajian ini menyumbang kepada pembinaan kerangka metodologi baharu bagi pengkajian manuskrip hadis di Alam Melayu, di samping memperkukuh wacana tentang autoriti hadis, transmisi ilmu dan standardisasi kajian manuskrip Islam serantau.










