Penglibatan ketenteraan Uthmaniyyah era Mustafa III (1757-1774) dalam perang Uthmaniyyah-Rusia: Satu pemerhatian awal
Keywords:
Ketenteraan Uthmaniyyah, Perang Uthmaniyyah-Rusia, Mustafa III, Sejarah Politik, Sejarah KetenteraanAbstract
Penulisan ini memerikan perihal sejarah ketenteraan Uthmaniyyah pada abad ke-18M, dengan tumpuan pada era pemerintahan Mustafa III (1757-1774). Kajian ini turut memaparkan aspek pemerihalan Perang Uthmaniyyah-Rusia 1768-1774 yang berlaku semasa pemerintahan Mustafa III. Penulisan ini bertujuan untuk mengamati para pemerintah yang memerintah Kerajaan Uthmaniyyah pada abad ke-18M dan situasi pemerintahannya, di samping meneliti riwayat hidup dan sejarah pemerintahan Mustafa III dalam mentadbir Kerajaan Uthmaniyyah. Kajian ini juga bertujuan untuk menganalisis penglibatan ketenteraan Uthmaniyyah era Mustafa III (1757-1774) dalam Perang Uthmaniyyah-Rusia 1768-1774. Keseluruhan penulisan ini menggunakan pendekatan kajian kualitatif menerusi reka bentuk kajian sejarah dan analisis kandungan. Bagi kaedah pengumpulan data, maklumat kajian ini dikumpul menggunakan analisis dokumen dengan penelitian terhadap sumber-sumber rujukan yang relevan. Manakala bagi kaedah penganalisisan data, kajian ini selanjutnya menggunakan pendekatan kritikan luaran dan dalaman bersesuaian dengan metode sejarah. Dapatan kajian menghujahkan bahawa sorotan susastera bagi penglibatan ketenteraan Uthmaniyyah era Mustafa III (1757-1774) meliputi tiga tema penting, iaitu: (1) situasi Kerajaan Uthmaniyyah awal abad ke-18M; (2) riwayat hidup dan tadbir urus Mustafa III; dan (3) kententeraan Uthmaniyyah era Mustafa III dalam Perang Uthmaniyyah-Rusia. Kajian ini dapat memberi pendedahan dan kemudahan dalam pencarian sumber rujukan berkaitan sejarah ketenteraan Uthmaniyyah, khususnya pada zaman pemerintahan Mustafa III. Secara tidak langsung, kajian ini turut memartabatkan bidang sejarah ketenteraan Uthmaniyyah era Mustafa III kepada khalayak peminat dan pengkaji bidang sejarah ketenteraan dan tamadun Islam di Malaysia khususnya dan juga di rantau Asia Tenggara umumnya.










