Ihsan sebagai dimensi spiritual dalam Islam: Satu tinjauan analitis
Keywords:
Ihsan, Islam, Akhlak, Spiritual, Tazkiyyat al-NafsAbstract
Konsep ihsan merupakan satu daripada dimensi terpenting dalam Islam yang menekankan penghayatan spiritual yang tinggi dalam hubungan manusia dengan Allah SWT serta sesama makhluk. Namun begitu, dalam konteks masyarakat kontemporari, penghayatan terhadap ihsan sering diabaikan kerana kurang memahami kedalaman dimensi rohani dan kaedah pencapaiannya. Hal ini menimbulkan kekosongan nilai kefahaman dalam memahami hakikat konsep ihsan yang sebenar. Sehubungan itu, kajian ini bertujuan untuk menganalisis konsep ihsan sebagai dimensi spiritual dalam Islam dengan meneliti definisi, pembahagian serta pendekatan dalam mencapainya. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui analisis kandungan terhadap sumber-sumber primer dan sekunder, termasuk al-Quran, hadith serta karya-karya ulama klasik dan kontemporari berkaitan dengan tajuk. Dapatan kajian menunjukkan bahawa ihsan merangkumi dua dimensi utama, iaitu hubungan dengan Allah SWT melalui ibadah yang ikhlas dan penuh kesedaran (muraqabah), serta hubungan sesama makhluk melalui pengamalan akhlak mulia dan penunaian hak-hak sosial. Kajian ini juga mendapati pencapaian ihsan memerlukan proses tazkiyyat al-nafs yang berterusan melalui amalan seperti mujahadah, muraqabah dan muhasabah.










