Kesahan ilmu bersumberkan kecerdasan buatan (artificial intelligence) dari perspektif epistemologi Islam
Keywords:
Kecerdasan Buatan, Epistemologi, al-Ghazali, Kesahan Ilmu, FalsafahAbstract
Kemajuan teknologi Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence atau AI) telah membuka ruang baharu dalam penghasilan dan mendapatkan maklumat. Namun perkembangan pesat ini turut menimbulkan kekeliruan dalam menentukan kebenaran serta kesahan ilmu dan maklumat. Kewujudan pelbagai ideologi pemikiran, disinformation (maklumat palsu) serta kemerosotan autoriti ilmu menunjukkan kesan bilamana kebenaran sesuatu ilmu tidak bersandarkan kepada kerangka epistemologi yang kukuh. Artikel ini bertujuan untuk menilai kesahan ilmu yang dihasilkan atau disebarkan melalui AI menurut kerangka epistemologi Islam, dengan memberi fokus khas kepada pandangan Imam al-Ghazali. Berdasarkan kaedah analisis kandungan terhadap karya-karya utama beliau, artikel ini menggariskan prinsip-prinsip asas dalam penilaian ilmu seperti sifat yaqīn (yakin), thiqah (keabsahan) sumber dan kesahihan jalan penerimaan ilmu. Dapatan kajian menunjukkan maklumat daripada AI tidak boleh diterima secara mutlak sebagai ilmu yang sah menurut perspektif Islam, melainkan ia melalui proses penyaringan, pengesahan dan pentarjihan berdasarkan disiplin ilmu yang muktabar. Justeru, pendekatan kritis dan beretika amat diperlukan dalam penggunaan AI agar tidak menjejaskan integriti epistemologi Islam serta memperoleh ilmu yang benar.










