Kesahan dan kebolehpercayaan instrumen amalan pengurusan pengetahuan dan prestasi kerja pensyarah politeknik: Analisis Faktor Eksploratori (EFA)
Keywords:
Analisis Faktor Eksploratori (EFA), Amalan Pengurusan Pengetahuan, Prestasi Kerja Pensyarah, Kesahan dan Kebolehpercayaan Instrumen, Politeknik MalaysiaAbstract
Pengurusan pengetahuan dan prestasi kerja pensyarah merupakan elemen penting dalam menjamin keberkesanan organisasi pendidikan tinggi teknikal di Malaysia. Walau bagaimanapun, instrumen sedia ada sering kali tidak melalui proses penentusahan yang menyeluruh, menyebabkan dapatan kajian berisiko dipengaruhi oleh kesilapan pengukuran. Oleh itu, penghasilan instrumen yang sah dan boleh dipercayai adalah kritikal untuk menyokong penyelidikan serta amalan pengurusan pendidikan. Objektif Kajian: Kajian ini bertujuan untuk menilai kesahan dan kebolehpercayaan instrumen amalan pengurusan pengetahuan dan prestasi kerja pensyarah politeknik melalui Analisis Faktor Eksploratori (EFA). Metodologi: Instrumen yang dibangunkan terdiri daripada 34 item bagi konstruk amalan pengurusan pengetahuan dan 28 item bagi konstruk prestasi kerja. Seramai 120 orang pensyarah politeknik di Malaysia telah dipilih sebagai responden kajian rintis. Semua item diukur menggunakan skala Likert lima mata (1 = sangat tidak setuju hingga 5 = sangat setuju). Data dianalisis menggunakan SPSS versi 29 dengan kaedah Principal Component Analysis (PCA) dan putaran Equamax. Kesahan konstruk ditentukan berdasarkan nilai Kaiser-Meyer-Olkin (KMO), Bartlett’s Test of Sphericity, nilai eigen (>1.0), varian terkumpul (>60%), dan muatan faktor (≥0.50). Tahap kebolehpercayaan pula diukur menggunakan pekali Alpha Cronbach. Hasil Kajian: Analisis menunjukkan bahawa instrumen amalan pengurusan pengetahuan membentuk tiga dimensi utama iaitu Pengetahuan Organisasi, Kebolehpercayaan Pengetahuan, serta Komunikasi dan Perkongsian Pengetahuan dengan 14 item akhir. Bagi konstruk prestasi kerja, tiga dimensi turut dikenal pasti, iaitu Prestasi Profesionalisme, Pembangunan Diri Kerja, dan Kecekapan Kerja dengan 11 item akhir. Nilai KMO melebihi 0.60, Bartlett’s Test signifikan (p < 0.001), jumlah varian terkumpul melebihi 79%, dan nilai Alpha Cronbach berada antara 0.829 hingga 0.957, menandakan tahap kesahan dan kebolehpercayaan yang tinggi. Kesimpulan: Kajian ini membuktikan bahawa instrumen yang dibangunkan adalah sahih, konsisten, dan stabil untuk digunakan dalam menilai amalan pengurusan pengetahuan serta prestasi kerja pensyarah politeknik. Instrumen ini berpotensi digunakan dalam penyelidikan lanjutan dan amalan pengurusan pendidikan bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran serta pembangunan tenaga akademik di Malaysia.










