Dasar sifar penolakan (Zero Reject Policy) di Malaysia: Menilai jurang antara aspirasi polisi dan kesediaan sistem pendidikan
Keywords:
Dasar Sifar Penolakan, Pendidikan Inklusif, Kesediaan Guru, Murid Berkeperluan Khas, Jurang Polisi-Amalan, Sistem PendidikanAbstract
Dasar Sifar Penolakan (ZRP) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 2019 merupakan satu langkah progresif untuk merealisasikan agenda "Pendidikan untuk Semua" dengan memastikan Murid Berkeperluan Khas (MBK) mendapat akses pendidikan tanpa halangan. Walau bagaimanapun, pelaksanaan dasar yang bersifat top-down ini telah mendedahkan satu jurang yang ketara antara aspirasi polisi dengan realiti di peringkat sekolah. Kertas kerja ini bertujuan untuk menganalisis jurang tersebut dengan menilai tahap kesediaan sistem pendidikan Malaysia dari empat aspek utama: kesediaan guru arus perdana, kesediaan pentadbir sekolah, isu kapasiti dan kepadatan murid, serta kesediaan sosial murid arus perdana. Melalui kaedah analisis dokumen dan sintesis literatur, kertas ini mendapati bahawa walaupun ZRP berjaya meningkatkan enrolmen MBPK, ia dilaksanakan dalam satu ekosistem yang belum bersedia sepenuhnya. Guru arus perdana didapati kurang pengetahuan dan kemahiran , manakala pentadbir terhimpit antara arahan polisi dengan kekangan sumber dan infrastruktur. Sekolah berdepan dengan isu kepadatan murid yang kritikal, dengan purata murid melebihi 40 orang setiap kelas, jauh melebihi piawaian UNESCO. Akhir sekali, penerimaan sosial dalam kalangan murid arus perdana masih rendah, dengan 48.0% pentadbir tidak pasti sama ada murid arus perdana bersedia menerima MBK, sekali gus mewujudkan risiko buli yang tinggi. Kertas kerja ini merumuskan bahawa tanpa pelaburan yang setara dalam pembangunan kapasiti guru, penambahbaikan infrastruktur, dan pengurusan perubahan sosial, ZRP berisiko menjadi satu polisi yang idealistik di atas kertas tetapi menghasilkan tekanan sistematik dan kegagalan di dalam bilik darjah.










