Naratif visual Kesultanan Johor Lama (1511–1699): Analisis semiotik ilustrasi lukisan di Muzium Kota Tinggi
Keywords:
Muzium Kota Tinggi, Analisis Semiotik, Ilustrasi Lukisan, Interpretasi Muzium, Kesultanan Johor Lama, Naratif VisualAbstract
Peranan muzium telah berevolusi daripada sekadar institusi penyimpanan dan pengumpulan objek kepada pusat ilmu yang menyumbang kepada pembangunan pengetahuan dan pendidikan tidak formal. Seiring dengan perubahan ini, interpretasi menjadi aspek penting dalam pembentukan pameran, di mana penyampaian makna tidak lagi bergantung hanya pada label teks dan artifak, tetapi turut diperkaya melalui penggunaan visualisasi. Visualisasi dalam bentuk ilustrasi lukisan berperanan menghidupkan naratif sejarah dengan cara yang lebih imersif, estetik dan komunikatif, sekali gus memberikan peluang kepada pengunjung untuk membina makna berdasarkan pengalaman dan konteks mereka sendiri. Kajian ini meneliti fungsi ilustrasi lukisan sebagai medium interpretasi dalam pameran sejarah di Muzium Kota Tinggi, khususnya dalam mempersembahkan naratif Kesultanan Johor Lama (1511–1699). Analisis dijalankan dengan menggunakan pendekatan semiotik yang menekankan dua dimensi makna, iaitu denotatif dan konotatif, bagi mengenal pasti isi kandungan naratif visual yang dipamerkan. Hasil kajian menunjukkan bahawa lukisan-lukisan ini bukan sekadar berperanan sebagai karya estetika, tetapi turut mengandungi makna simbolik yang membentuk pemahaman mendalam terhadap aspek politik, ketenteraan, diplomasi, tokoh, serta adat istiadat istana kesultanan Johor. Selain itu, dapatan juga memperlihatkan bagaimana naratif visual tersebut menyokong interpretasi muzium melalui pembinaan pendidikan, pengalaman kognitif, emosi dan reflektif dalam kalangan pengunjung. Kajian ini menegaskan bahawa ilustrasi lukisan mampu menjadi wahana signifikan dalam memperkukuh penyampaian sejarah, di samping memperlihatkan peranan muzium sebagai institusi pedagogi dan wahana wacana budaya yang berkesan.










