Dari adat ke kolonial: Sumpah darah sebagai instrumen kuasa British North Borneo Company di Borneo Utara
Keywords:
Syarikat Pentadbiran Borneo Utara, Perjanjian Bertulis, Perjanjian Lisan, Borneo Utara, sumpah darah, hegemoni, simbolisme kolonial, legitimasi kuasaAbstract
Makalah ini meneliti strategi British North Borneo Company (BNBC) dalam menggabungkan unsur budaya Barat melalui perjanjian bertulis serta adat tempatan seperti perjanjian lisan dan sumpah darah ke dalam proses pemerolehan wilayah pedalaman Borneo Utara pada akhir abad ke-19. Dengan menggunakan kerangka Teori Hegemoni Antonio Gramsci dan Teori Simbolisme Kuasa Kolonial, kajian ini menganalisis bagaimana ritual tradisional yang bersifat sakral telah dimanipulasi untuk mengabsahkan kuasa kolonial dan membina persetujuan sosial terhadap pemerintahan BNBC. Berdasarkan analisis dokumen kolonial, laporan ekspedisi, dan sumber antropologi, dapatan menunjukkan bahawa perjanjian lisan, sumpah setia bukan sahaja berfungsi sebagai mekanisme pengukuhan legitimasi dan persetujuan politik, tetapi juga sebagai simbol integrasi antara kuasa tradisional dengan pentadbiran kolonial. BNBC memanfaatkan ritual ini sebagai strategi simbolik untuk mewujudkan bentuk hegemoni yang menekankan penerimaan dan kerjasama masyarakat tempatan tanpa kebergantungan mutlak kepada kekerasan ketenteraan. Melalui pendekatan ini, BNBC berjaya menstrukturkan bentuk pemerintahan baharu yang mengekalkan elemen budaya tempatan dalam kerangka pentadbiran kolonial moden. Kajian ini menegaskan bahawa adaptasi adat seperti sumpah darah merupakan instrumen penting dalam peralihan kuasa daripada sistem adat kepada sistem kolonial serta memperlihatkan bagaimana simbolisme budaya dimobilisasi bagi memperkukuh legitimasi kuasa penjajahan di Borneo Utara.










