Impak pelaksanaan pemulihan ekopelancongan berasaskan komuniti (CBE) dan homestay pasca COVID-19 di Kundasang, Sabah, Malaysia
Keywords:
Impak Pelaksanaan, Ekopelancongan Berasaskan Komuniti (CBE);, Homestay, Pandemik Covid-19Abstract
Pandemik Covid-19 telah memberi kesan mendalam terhadap sektor pelancongan di Malaysia khususnya destinasi ekopelancongan di Kundasang, Sabah. Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menyebabkan banyak sektor pelancongan terpaksa berhenti beroperasi sementara waktu untuk mengekang penularan virus ini daripada terus merebak dalam kalangan komuniti. Fokus utama kajian ini adalah mengkaji impak pelaksanaan strategi pemulihan ekopelancongan berasaskan komuniti dan homestay pasca Covid-19 di Kundasang, Sabah. Objektif utama kajian ini adalah mengenalpasti impak pelaksanaan strategi pemulihan berasaskan komuniti dan homestay (CBE) pasca Covid-19 yang cenderung kepada positif dan negatif. Pendekatan utama kajian ini adalah pendekatan kualitatif yang disokong oleh data kuantitatif. Kaedah kutipan data adalah temubual mendalam kepada sepuluh orang informan yang melibatkan ahli komuniti yang berkepentingan dan survei borang soal selidik ke atas 167 orang responden. Selain itu, pemerhatian di lapangan telah diaplikasikan untuk mendapatkan data yang lebih mendalam dalam kajian ini. Hasil kajian mendapati bahawa impak yang cenderung kepada positif ialah kedatangan pelancong domestik meningkat, pendapatan komuniti atau pengusaha homestay meningkat, ramai ahli komuniti terlibat dalam program homestay, dan ekopelancongan. Manakala impak yang cenderung ke arah negative adalah kemudahan infrastruktur, fasiliti homestay dan lebih ramai pengusaha homestay swasta dibenarkan membina homestay berada pada tahap sederhana pasca Covid-19 di Kundasang, Sabah.










