Kerangka etika sosial dalam pengurusan neurodiversiti di tempat kerja berasaskan nilai dalam surah Al-Hujurat
Keywords:
Neurodivergent, kerangka etika sosial, tempat kerja, Surah al-HujuratAbstract
Neurodiversiti merujuk kepada kepelbagaian cara fungsi otak manusia, termasuk individu dengan autisme, ADHD, disleksia dan kondisi neurologi lain yang unik. Dalam konteks tempat kerja, golongan neurodivergent sering berdepan pelbagai cabaran seperti ketidaksefahaman sosial, diskriminasi halus, dan persekitaran kerja yang tidak mesra terhadap keperluan mereka. Meskipun pendekatan keterangkuman semakin mendapat tempat dalam dasar pengurusan sumber manusia, elemen nilai dan spiritual Islam masih kurang diketengahkan dalam membina suasana kerja yang menyantuni komuniti ini. Kertas kerja ini membentangkan cadangan pembentukan sebuah kerangka sosial Islam yang berasaskan nilai-nilai dalam Surah Al-Hujurat bagi menyokong penyertaan dan kesejahteraan golongan neurodivergent di tempat kerja. Surah ini menekankan prinsip-prinsip sosial seperti adab komunikasi, tabayyun (verifikasi maklumat), larangan mengejek dan prasangka, ukhuwwah dan ta’aruf sebagai asas hidup bermasyarakat. Nilai-nilai ini jika diterapkan dalam struktur organisasi dan budaya kerja dapat menjadi asas kukuh dalam membina tempat kerja yang adil, rahmah, dan inklusif. Melalui pendekatan antara disiplin yang menggabungkan tafsir al-Quran, psikologi pekerjaan, dan prinsip pengurusan Islam, kajian ini menyarankan supaya nilai Surah Al-Hujurat digunakan sebagai panduan dalam menggubal dasar organisasi, membangunkan garis panduan dan membina ekosistem kerja yang menghormati kepelbagaian neurologi.










