Pendekatan tauhidik dalam pengurusan emosi ibu bapa yang mempunyai anak berkeperluan khas menerusi perspektif Risālah al-Nūr
Keywords:
Pengurusan emosi, keibubapaan, Risālah al-Nūr, tafakkur, ta’ammul, istiqāmahAbstract
Kajian ini bertujuan untuk meneliti konsep pengurusan emosi keibubapaan anak berkeperluan khas menerusi perspektif Risālah al-Nūr dengan memberi fokus kepada dimensi spiritual dan nilai Islam yang diketengahkan oleh Imām Badi‘uzzamān Sa‘īd Nursī. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif dengan kaedah analisis dokumen terhadap kandungan kitab Risālah al-Nūr. Hasil analisis mendapati bahawa pengurusan emosi keibubapaan dapat dibangunkan melalui tiga kerangka utama: tafakkur (refleksi), ta’ammul (cara mengurus emosi), dan istiqāmah (peneguhan). Tafakkur membantu ibu bapa melakukan refleksi rohani dalam memahami hakikat dan hikmah ujian. Ta’ammul melibatkan pengurusan emosi secara reflektif dan penilaian rohani terhadap ujian, manakala istiqāmah menekankan aspek konsistensi dalam memperkukuh keimanan dan kestabilan emosi. Ketiga-tiga komponen ini saling melengkapi sebagai strategi pengurusan emosi yang berpaksikan kerohanian Islam. Diharapkan dapatan kajian ini dapat memberi sumbangan kepada bidang psikologi Islam dan menawarkan perspektif baharu berasaskan Risālah al-Nūr dalam memperkukuh kesejahteraan emosi dan kerohanian keluarga khususnya yang mempunyai anak berkeperluan khas.










