Manuskrip Melayu abad ke-19M dalam bidang hadith: Satu kajian terhadap kitab Rawḍah al-‘Ulamā’
Keywords:
MSS 3201, , Rawḍah al-‘Ulamā’, Alam Melayu, Kajian manuskrip, HadithAbstract
Terdapat pelbagai karya telah dihasilkan oleh para sarjana Alam Melayu dan sehingga sekarang ia masih berbentuk tulisan tangan dan manuskrip. Karya-karya tersebut menampilkan pelbagai keunikan dan keistimewaan tersendiri. Antaranya ialah kepelbagaian penulisan karya Alam Melayu dan kandungannya yang komprehensif merangkumi kepelbagaian bidang keilmuan. Penulisannya juga adalah berteraskan adab dan keilmuan yang tinggi dalam kepengarangannya. Karya yang dihasilkan juga bukan sahaja terhad kepada berbentuk prosa, malah ada juga ditulis dalam bentuk lain seperti syair, puisi dan nazam. Oleh yang demikian, artikel ini akan membincangkan salah satu manuskrip Melayu abad ke-19M dalam bidang hadith. Tumpuan khusus kajian ini ini adalah terhadap kitab bertajuk Rawḍah al-‘Ulamā’. Manuskrip ini ditulis menggunakan bahasa Jawi dan kandungannya memuatkan pelbagai jenis hadith genre galakan dan tegahan (targhīb wa tarhīb). Metode kajian yang digunakan dalam artikel ini ialah metode kajian manuskrip merangkumi kajian kodikologi dan juga analisis kandungan untuk melihat penulisan dan tajuk-tajuk hadith yang dikemukakan dalam manuskrip ini. Kajian aspek kodikologi memfokuskan kewujudan naskhah, repositori, aspek fizikal naskhah, saiz, kertas, tera air dan sebagainya, manakala aspek kedua pula mendedahkan aspek kandungan manuskrip ini. Diharapkan dengan kajian ini dapat menjelaskan aspek-aspek penting melibatkan fizikal naskhah yang dikaji seterusnya memudahkan kajian lanjutan khusus tentang kandungan manuskrip kitab Rawḍah al-‘Ulamā’ini.










