Athbāt dan sanad ulama Melayu dalam bidang hadis: Sumbangan kepada pembinaan masyarakat madani Nusantara
Keywords:
Sanad, Athbāt, Ulama Melayu, Hadis, Masyarakat Madani, NusantaraAbstract
Artikel ini membincangkan peranan sanad dan athbāt dalam tradisi keilmuan ulama Melayu serta sumbangannya terhadap pembinaan masyarakat madani Nusantara. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif berbentuk analisis kepustakaan dengan merujuk kepada karya klasik hadis seperti al-Kifayah fi ‘Ilm al-Riwayah karya al-Khatib al-Baghdadi, Nuzhat al-Nazar karya Ibn Hajar al-‘Asqalani, serta Fihris al-Faharis wa al-Athbāt karya al-Kattani, di samping rujukan kontemporari berkaitan ulama Melayu. Kajian turut menggunakan pendekatan temubual kepada 37 responden yang mempunyai kecenderungan kepada pemeliharan sanad bagi melengkapkan dapatan berkaitan dengan athbat. Kajian tokoh sanad hadis pula hanya terfokus kepada para ulama di Negeri Kedah dan Pulau Pinang sahaja. Hasil kajian menunjukkan bahawa tradisi sanad dan athbāt bukan sahaja berfungsi sebagai mekanisme periwayatan hadis, tetapi juga sebagai instrumen sosial yang memperkukuh nilai amanah, disiplin, dan integriti dalam masyarakat. Ulama Melayu seperti Syeikh Daud al-Fatani, Syeikh Ahmad al-Fatani, Tok Kenali, Syeikh Wan Ali Kutan, dan Syeikh Muhammad Ismail al-Fatani berperanan besar sebagai penghubung antara sanad ulama Timur Tengah dengan masyarakat Nusantara. Athbāt yang dihasilkan pula menjadi bukti kesinambungan ilmu dan pengiktirafan guru yang meneguhkan kedudukan ulama Melayu dalam jaringan global Islam. Kajian ini menegaskan bahawa tradisi sanad dan athbāt perlu terus dipelihara melalui dokumentasi sistematik, digitalisasi manuskrip, integrasi dalam kurikulum IPTA dan pondok, serta penghidupan semula tradisi talaqqi. Dengan langkah ini, warisan sanad dan athbāt dapat terus menyumbang kepada pemantapan masyarakat madani Nusantara berasaskan al-Quran dan al-Sunnah.










