Inovasi kod Jawi manifestasi keberhasilan tadabbur Al-Quran
Keywords:
al-Quran, Kod Jawi, Mohamed bin Abbas, tadabbur, MelayuAbstract
Keajaiban dan kemukjizatan Kitab Suci al-Quran tiada kesudahannya kerana ia adalah Kalam Allah SWT yang ilmuNya tiada berpenghujung. Justeru, para ilmuwan dan pengkaji sejak era awal perkembangan Islam telah berjaya mengeluarkan daripadanya berbagai mutiara ilmu serta panduan hidup menerusi penelitian berterusan mereka terhadap ayat, susunan dan pendekatannya. Dalam konteks perkembangan semasa kajian, sebuah inovasi yang dinamakan sebagai Kod Jawi, menawarkan panduan bagi sesuatu perancangan dan tindakan yang hendak dilaksanakan oleh individu, kumpulan, masyarakat atau organisasi berasaskan intipati kandungan surah yang mewakili Huruf Jawi pada penamaannya. Walau bagaimanapun, intipati surah yang dikemukakan dalam bentuk perkataan atau ungkapan ringkas, menimbulkan tanda tanya tentang kaedah pengekstrakannya sehingga terhasil dalam bentuk kod. Kajian ini bertujuan untuk menelusuri metod dan kaedah yang digunakan oleh Pengasas Kod Jawi, Tuan Guru Mohamed bin Abbas dalam merumuskan kandungan surah-surah terlibat dan meringkaskannya menjadi satu perkataan atau ungkapan yang mewakili setiap huruf dalam tulisan Jawi. Ia merupakan sebuah kajian kualitatif diskriptif terhadap amalan serta dokumentasi yang ditinggalkan oleh beliau sepanjang usaha penelitian atau tadabburnya sehingga berjaya menghasilkan kod ini. Selain itu, maklumat tambahan daripada temu bual bersama para murid dan rakan beliau yang hampir dan arif tentang usaha ini juga turut dirujuk bagi melengkapkan maklumat kajian. Hasil kajian mendapati bahawa kesungguhan, keikhlasan dan keistiqamahan tokoh ini akhirnya berjaya membuahkan satu inovasi menarik dalam memberi makna dan nilai tambah baharu kepada Tulisan Jawi berlandaskan petunjuk daripada al-Quran. Kod Jawi juga telah berjaya menelusuri jalannya untuk sampai kepada beberapa kumpulan sasaran dan menunjukkan potensi yang sangat baik untuk menjadi panduan kepada masyarakat, dalam mensejahterakan urusan kehidupan mereka. Kajian ini diharapkan akan dapat memberikan implikasi yang baik kepada para pemegang taruh, agar usaha semua pihak dalam mengangkat martabat jati diri dan warisan bangsa menerusi Tulisan Jawi dapat diperkasakan.










