I-Takhrij: Inovasi digital dalam pengajaran dan pembelajaran ilmu takhrij hadis
Keywords:
i-Takhrij, takhrij, hadis, aplikasi, pembelajaran hadisAbstract
Ilmu takhrij hadis (takhrij) merupakan salah satu disiplin penting dalam ilmu hadis. Ilmu ini mendedahkan pelajar kepada kaedah mencari, mendokumentasikan dan menyatakan maklumat sumber hadis secara sistematik. Namun, dalam proses pembelajaran yang melibatkan proses latihan takhrij kendiri serta aktiviti pembentangan laporan, pelajar sering berdepan masalah kekeliruan terhadap item maklumat hadis yang diperlukan, kesilapan dalam pengisian maklumat tersebut, serta format dokumentasi takhrij untuk paparan. Menerusi kaedah konvensional yang biasa dilakukan, pelajar perlu menulis atau memindahkan maklumat daripada pelbagai sumber hadis ke laporan takhrij. Proses ini bukan sahaja memakan masa, bahkan terkadang mendedahkan mereka kepada risiko kesilapan dalam memilih maklumat, kesalahan salinan, dan ketidakselarasan format. Tambahan pula, ketiadaan sistem yang berperanan membimbing mereka mengikut urutan maklumat dan format standard menyebabkan laporan mereka tidak tersusun dan akhirnya menyebabkan pembentangan hasil laporan takhrij yang mereka lakukan kurang efektif. Bagi menangani permasalahan ini, inovasi i-Takhrij telah dibangunkan sebagai aplikasi digital pertama yang menyokong pelaporan dan pembentangan pelajar khusus untuk kursus ilmu takhrij. Aplikasi ini terdiri daripada dua komponen utama, iaitu Input Takhrij untuk pengumpulan maklumat hadis secara berstruktur, dan Papar Takhrij yang menjana laporan automatik dalam format konsisten. Melalui aplikasi ini, pelajar dapat menghasilkan laporan takhrij hadis yang lebih lengkap dan membuat pembentangan laporan dengan lebih sistematik. Hal ini sekali gus akan memudahkan pensyarah membuat penilaian. Kajian ini membincangkan latar belakang pembangunan aplikasi i-Takhrij, reka bentuk fungsinya, serta potensinya dalam mempertingkat keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran takhrij hadis di institusi pengajian tinggi.










