Metodologi Al-Durar al-Wafirat bi Halli Alfaz al-Raudhat fi Qiraati al-Imam Hamzah al-Zayyati karya Syeikh Nuh Jamaluddin al-Kelantani
Keywords:
Qiraat Hamzah, Manuskrip Qiraat, Jawi KlasikAbstract
Ilmu Qiraat merupakan cabang penting dalam bidang al-Quran yang berperanan memastikan kelestarian bacaan yang sahih sebagaimana yang diwarisi daripada Rasulullah SAW. Di Nusantara, khususnya di Malaysia, pengajian Qiraat telah berkembang seiring dengan penyebaran Islam melalui pengaruh para ulama tempatan dan luar negara, dibuktikan dengan kewujudan kitab-kitab klasik bertulisan Jawi seperti Hidayah al-Muta‘allim, Manzhumat al-Jawhariyyah, dan Sullam al-Mubtadi, serta sumbangan tokoh seperti Tok Kenali, Tuan Guru Haji Wan Musa al-Kelantani dan Sheikh Abdul Qadir al-Mandili. Kajian ini memberi fokus kepada pendedahan awal terhadap sebuah manuskrip tulisan tangan yang berusia lebih 100 tahun hasil karya Syeikh Nuh Jamaluddin al-Kelantani yang berjudul Al-Durar Al-Wafirat Bi Halli Alfaz Al-Raudhat Fi Qiraati Al-Imam Hamzah Al-Zayyati. Kitab ini Syeikh Nuh Jamaluddin telah menghadiahkannya kepada Haji Ismail Mahmud al-Thailand yang merupakan murid kanannya semasa hendak pulang ke Patani. Manuskrip ini mengandungi syarahan berkaitan Qiraat Hamzah yang berasaskan daripada sebuah matan qiraat (dirujuk sebagai kitab matan al-Raudhat Fima Qara Hamzah al-Zayyat dalam kajian awal ini). Objektif kajian ini adalah untuk meneliti metodologi syarah yang digunakan, mengenal pasti matan asal, serta menganalisis laras bahasa Arab yang diguna pakai. Kajian ini menggunakan metode perpustakaan serta metode temubual tidak berstruktur kepada tokoh yang juga merupakan penyimpan manuskrip ini di Thailand. Hasil kajian menunjukkan bahawa manuskrip ini merupakan karya yang belum pernah dicetak dan kini tersimpan rapi di Madrasah al-Ianah al-Diniyyah Din Lan, Songkhla, Thailand, sekali gus membuktikan sumbangan besar ulama Nusantara dalam memperkaya tradisi keilmuan Qiraat di rantau ini. Selain itu, Manuskrip ini juga telah ditulis sepenuhnya dalam bahasa Arab berbeza daripada karya-karya lain yang biasanya ditulis dalam bahasa Jawi klasik










