Peranan as-suhbah as-solehah menurut hadith Nabi SAW dalam membentuk masyarakat sejahtera
Keywords:
al-Suhbah al-Solehah, Masyarakat Sejahtera, Sahabat Soleh, Akhlak, Kesihatan MentalAbstract
Artikel ini meneliti peranan al-suhbah al-solehah menurut hadis Nabi Muhammad SAW dalam membentuk masyarakat sejahtera. Kajian ini dibuat bagi menjawab isu peningkatan masalah sosial dan isu kesihatan mental dalam masyarakat moden serta menonjolkan relevansi panduan Nabawi tentang kepentingan memilih lingkungan sahabat yang soleh. Perbincangan difokuskan kepada analisis hadis-hadis yang berkaitan dengan al-suhbah al-solehah, penjelasan ulama dalam kitab-kitab syarah hadis, serta implikasinya terhadap pembinaan masyarakat yang sejahtera dan berakhlak mulia. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui kaedah kepustakaan. Analisis dilakukan terhadap teks hadis terpilih, pentafsiran ulama dalam kitab syarah hadis, serta perbahasan kontemporari berkaitan hubungan sosial dalam Islam. Dapatan kajian menunjukkan bahawa al-suhbah al-solehah mempunyai tiga peranan utama. Pertama, ia berfungsi sebagai mekanisme pencegahan daripada pengaruh negatif yang boleh membawa kepada keruntuhan akhlak dan masalah mental. Kedua, ia menjadi agen pengukuhan iman melalui dorongan untuk melaksanakan ketaatan dan menjauhi maksiat. Ketiga, ia membentuk jaringan sosial positif berasaskan ukhuwah, kasih sayang, dan tolong menolong. Peranan ini membuktikan bahawa persahabatan dengan orang soleh memberi kesan bukan sahaja kepada individu, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat. Kesimpulannya, hadis-hadis Nabi SAW menegaskan bahawa pemilihan sahabat yang soleh merupakan aspek penting dalam usaha membentuk masyarakat yang sejahtera dan harmoni. Kajian ini akan memberi sumbangan dari sudut akademik dengan menegaskan bahawa usaha menangani masalah sosial dan Kesihatan mental tidak terbatas sekadar hanya bergantung kepada perundangan atau hukuman semata-mata dan ubat-batan klinikal sahaja, tetapi perlu diberikan perhatian kepada pembentukan persekitaran sosial yang baik melalui jaringan persahabatan yang soleh dan perdampingan bersama ulama yang ikhlas sebagaimana yang digariskan oleh Rasulullah SAW.










