Aplikasi penukaran perkataan daripada Rumi ke Jawi: Analisis perbandingan antara E-Jawi Makmur, EJawi Online 2.2, MR-JC dan EJawi2U
Keywords:
Jawi, tulisan Jawi, e-Jawi Makmur, Ejawi Online, Jawi converter, ejawi2UAbstract
Penggunaan tulisan Jawi kembali bersemarak dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Beberapa negeri mula menguatkuasakan penggunaan tulisan Jawi bersama-sama tulisan Rumi di papan tanda perniagaan dan papan tanda jalan. Begitu juga tulisan Jawi mula ditonjolkan dalam pelbagai saluran. Bagi pengguna yang terlibat dalam kerja-kerja berkaitan tulisan Jawi, cara yang pantas untuk menulis dalam tulisan Jawi atau menukar perkataan daripada Rumi kepada Jawi adalah dengan menggunakan aplikasi dalam talian yang tersedia. Pada masa ini, terdapat pelbagai aplikasi sama ada di platform Android atau IOS dan juga dalam bentuk web boleh digunakan oleh pengguna bagi memudahkan urusan tersebut. Walau bagaimanapun, tidak semua aplikasi menyediakan ejaan Jawi yang tepat sepenuhnya mengikut Sistem Ejaan Jawi Bahasa Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka. Ini termasuklah mengeja perkataan yang mempunyai huruf hamzah, perkataan-perkataan yang panjang, kata ganda, kata serapan Inggeris, kata serapan Arab dan lain-lain. Maka kajian ini bertujuan untuk menganalisis kemampuan dan ketepatan empat daripada aplikasi yang ditawarkan dalam talian yang dibangunkan khas untuk menukar perkataan Rumi kepada Jawi dengan mudah. Empat aplikasi tersebut adalah e-Jawi Makmur, Ejawi Online 2.2 atau juga dikenali sebagai ejawi.net, Malay Rumi-Jawi Converter dan juga ejawi2U. Kajian ini menggunakan metode eksperimen dan analisis perbandingan dengan menguji kemampuan aplikasi-aplikasi tersebut mengeja 18 perkataan Rumi ke Jawi dengan fokus diberikan kepada perkataan-perkataan yang mengandungi huruf hamzah yang sering dieja dengan salah. Dapatan analisis menunjukkan bahawa hanya e-Jawi Makmur menghasilkan ketepatan ejaan 100% manakala aplikasi-aplikasi yang lain mencatat ketepatan antara 38.9% hingga 72.2%. Dicadangkan supaya kajian ini dapat diperluaskan lagi pada masa depan dalam aspek-aspek kaedah dan hukum ejaan yang lain dalam tulisan Jawi. Tindakan pembetulan boleh diambil oleh pembangun aplikasi-aplikasi ini dengan merujuk pakar agar pengguna-pengguna yang ramai menggunakan kesemua aplikasi ini mendapat hasil ejaan Jawi yang tepat.










