Zakat dan kesejahteraan: Analisis literatur ke arah pembangunan kerangka indeks mustahik
Keywords:
Zakat, Kesejahteraan, Mustahik, Indeks KesejahteraanAbstract
Kesejahteraan merujuk kepada penilaian kendiri individu terhadap kebahagiaan, kepuasan hidup, kualiti kehidupan serta kesejahteraan kewangan. Dalam konteks Islam, aspek ini turut diperkuatkan melalui pelaksanaan zakat yang berperanan sebagai mekanisme agihan semula kekayaan dan perlindungan sosial. Tinjauan literatur mendapati bahawa kajian mengenai kesejahteraan telah dilakukan secara meluas, merangkumi pelbagai perspektif seperti psikologi, sosioekonomi dan spiritual. Begitu juga, terdapat banyak kajian berkaitan zakat dari sudut kutipan, agihan dan impaknya terhadap masyarakat. Namun begitu, kajian yang secara khusus meneliti kesejahteraan dalam kalangan penerima zakat (mustahik) masih terhad. Lebih-lebih lagi, kajian yang mengupas kesejahteraan secara holistik dan berteraskan prinsip maqasid syariah dalam kalangan mustahik hampir tidak diketengahkan. Kajian literatur yang dianalisis menunjukkan bahawa aspek kesejahteraan penerima zakat boleh dikelompokkan kepada beberapa domain utama seperti kesejahteraan spiritual, kesejahteraan kewangan, ketahanan diri, kebahagiaan dan kualiti hidup. Namun, kesemua domain ini masih belum digabungkan dalam satu kerangka kesejahteraan yang komprehensif untuk golongan penerima zakat. Sehubungan itu, artikel ini bertujuan untuk menganalisis kajian-kajian terdahulu berkaitan kesejahteraan dan zakat, serta mengemukakan rasional dan keperluan terhadap pembangunan satu kerangka indeks kesejahteraan khusus bagi golongan mustahik. Kajian ini juga menyeru kepada penyelidikan lanjut yang lebih bersifat praktikal dan aplikatif dalam usaha memperkasa kesejahteraan komuniti melalui pengurusan zakat yang lebih berstrategi dan berimpak.










