Pengabaian solat dalam kalangan pelajar: Satu tinjauan literatur sistematik mengenai faktor sosial, nilai keagamaan dan pembangunan sahsiah
Keywords:
Pengabaian solat, pelajar Muslim, nilai keagamaan, pembangunan sahsiah, tinjauan literatur sistematikAbstract
Isu pengabaian solat dalam kalangan pelajar semakin mendapat perhatian dalam wacana pendidikan Islam kerana ia mencerminkan tahap penghayatan agama serta keutuhan sahsiah generasi muda Muslim. Kajian ini dilaksanakan bagi meneliti secara sistematik faktor-faktor yang mempengaruhi pengamalan dan pengabaian solat dalam kalangan pelajar di pelbagai peringkat pendidikan formal. Menggunakan pendekatan Tinjauan Literatur Sistematik (Systematic Literature Review, SLR) berasaskan rangka kerja PRISMA (Preferred Reporting Items for Systematic Reviews and Meta Analyses), sebanyak 20 artikel berwasit yang diterbitkan antara tahun 2015 hingga 2025 telah dianalisis daripada pangkalan data Scopus, Web of Science (WoS), Google Scholar dan ResearchGate. Analisis kualitatif menggunakan pendekatan analisis tematik telah mengenal pasti empat tema utama, iaitu (i) tahap dan corak pengamalan solat dalam kalangan pelajar, (ii) faktor sosial yang mempengaruhi pelaksanaan solat, (iii) nilai keagamaan dan penghayatan spiritual, serta (iv) implikasi pengabaian solat terhadap pembentukan sahsiah dan disiplin diri. Dapatan kajian menunjukkan bahawa walaupun pelajar mempunyai tahap pengetahuan agama yang memuaskan, penghayatan rohani mereka masih rendah. Selain itu, faktor sosial seperti sokongan keluarga, pengaruh rakan sebaya, persekitaran sekolah, serta penggunaan media digital memainkan peranan signifikan dalam menentukan tahap konsistensi pelajar terhadap ibadah solat.Kajian ini memberikan sumbangan penting kepada literatur pendidikan Islam dengan menegaskan keperluan untuk membangunkan pendekatan pedagogi yang holistik dan berasaskan penghayatan bukan sekadar pengajaran berbentuk praktikal. Penemuan ini juga menyoroti keperluan bagi penyelidikan masa hadapan untuk menilai hubungan sebab dan akibat antara faktor sosial, nilai keagamaan dan amalan solat melalui pendekatan kuantitatif atau kajian intervensi berasaskan pendidikan Islam bersepadu.










