Qiyamullail sebagai terapi psikospiritual Islam: Analisis berdasarkan tradisi Salaf
Keywords:
qiamullail, Salaf, psikospiritual, sunnah, hadithAbstract
Amalan qiamullail merupakan salah satu bentuk ibadah malam yang telah diamalkan secara berterusan oleh Nabi Muhammad SAW dan para ulama Salaf sebagai rutin rohani. Namun begitu, perbincangan terhadap qiamullail dalam wacana Islam lebih sering difokuskan kepada aspek kelebihan, hukum dan fadilat berbanding fungsi psikospiritualnya terhadap kestabilan emosi dan kesihatan jiwa. Dalam era moden yang menyaksikan peningkatan gangguan mental dan kekosongan spiritual, pendekatan psikospiritual berasaskan ibadah sunnah seperti qiamullail semakin mendesak untuk diterokai secara lebih sistematik. Kajian ini bertujuan menilai qiamullail sebagai satu bentuk terapi psikospiritual Islam melalui analisis terhadap naratif pengalaman para Salaf serta pendekatan rohani yang terkandung dalam nas-nas hadith berkaitan. Metodologi kajian ini berbentuk kualitatif dengan pendekatan analisis kandungan, khususnya terhadap riwayat-riwayat dan karya tokoh Salaf serta huraian ulama dalam disiplin fiqh al-hadīth dan tazkiyat al-nafs. Dapatan kajian menunjukkan bahawa qiamullail tidak hanya berperanan sebagai ibadah sunat, tetapi turut berfungsi sebagai amalan penyucian jiwa yang mendalam, mampu merawat keresahan batin dan membina kekuatan spiritual dalam menghadapi tekanan hidup. Kajian ini mencadangkan agar qiamullail diangkat sebagai salah satu bentuk terapi kendiri Islamik dan dimasukkan dalam modul pembinaan jiwa serta intervensi kesihatan mental berasaskan nilai-nilai spiritual Islam. Kajian lanjutan boleh memberi tumpuan kepada pengukuran kesan qiamullail terhadap kesejahteraan mental melalui pendekatan kajian lapangan atau eksperimen dalam konteks semasa.










