Bebanan guru dan hubungannya dengan kepuasan kerja terhadap guru Pendidikan Islam (GPI) sekolah rendah: Kajian awal di daerah Temerloh
Keywords:
Beban Guru, Guru, Kepuasan Kerja, Guru Pendidikan Islam, Sekolah RendahAbstract
Kajian ini membincangkan bebanan guru dan hubungannya dengan kepuasan kerja terhadap guru Pendidikan Islam (GPI) sekolah rendah di daerah Temerloh, Pahang. Kajian mendapati guru-guru berhadapan dengan bebanan tugas yang mencabar dalam pelbagai aspek sehingga memberi kesan dan pengaruh terhadap kepuasan kerja. Objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti faktor penyumbang termasuk beban tugas, dan hubungan antara beban tugas guru dengan kepuasan kerja guru pendidikan Islam sekolah rendah. Reka bentuk kajian adalah jenis kuantitatif yang menggunakan kaedah keratan rentas. Kajian dijalankan dengan menggunakan soal selidik dalam talian. Analisa yang digunakan ialah analisa deskriptif dan analisa korelasi Pearson. Seramai 80 responden telah menyertai kajian ini, iaitu pada kadar respons 75.5%. Kebolehpercayaan soal selidik Inventori Kepuasan Kerja Herzberg (IKKH) ialah 0.883. Dapatan kajian menunjukkan bahawa, semua domain mempunyai hubungan kuat dengan kepuasan bekerja (julat Pearson- R = 0.564 hingga 0.828) kecuali domain pendapatan (Pearson- R=0.400). Kesimpulannya, faktor kepimpinan, kemudahan tempat kerja, ganjaran dan pengiktirafan, hubungan di tempat kerja dan beban tugas mempunyai impak positif yang kuat terhadap tahap kepuasan kerja guru Pendidikan Islam yang disokong dengan nilai p < 0.05. Dengan hasil dapatan kajian ini, cadangan penambah baikan yang diusulkan ialah menitik beratkan kredibilit kepimpinan pihak pengurusan, menyediakan kemudahan dan menjaga hubungan silaturahim di tempat bertugas, memberi pengiktirafan serta menyemak semula beban tugas yang sedia ada supaya tugasan guru seimbang, kekal fokus pada pengajaran berkualiti dan berasa dipedulikan daripada aspek kesejahteraan.
						
							









