Penyepaduan semula pedagogi berpusatkan hati: Islamisasi afektif menerusi psikologi kerohanian al-Ghazali [Reintegration of heart-centered pedagogy: Affective Islamization through al-Ghazali’s spiritual psychology].
Keywords:
Al-Ghazali, afektif, Islamisasi pendidikan, pedagogi hati, pendidikan Islam, pendidikan nilai, psikologi kerohanianAbstract
Era digital mendedahkan mahasiswa kepada limpahan maklumat dan pengaruh global yang berisiko mengancam jati diri, emosi, dan rohani. Situasi ini menuntut pendidikan bukan sekadar berfokus pada aspek kognitif dan psikomotor, tetapi turut memberi penekanan kepada pembinaan hati dan jiwa dalam domain afektif. Walaupun telah lama diiktiraf dalam taksonomi pendidikan, domain afektif masih terpinggir kerana dianggap abstrak, sukar diukur dan dipengaruhi oleh kerangka Barat yang sekular serta bebas nilai. Kajian ini bertujuan (i) menganalisis konsep psikologi kerohanian Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin berkaitan pembentukan domain afektif, dan (ii) mencadangkan kerangka pedagogi berpusatkan hati sebagai proses Islamisasi afektif dalam pendidikan kontemporari. Dengan menggunakan pendekatan kualitatif, kajian melibatkan analisis dokumen, perbincangan kumpulan fokus dengan 15 pakar serta temu bual separa berstruktur bersama 10 ahli akademik dan pengamal pendidikan. Dapatan menegaskan bahawa pembinaan afektif menurut Imam al-Ghazali berasaskan tarbiah al-qalb melalui prinsip tazkiyyah al-nafs, ihsan, muraqabah, mujahadah, muhasabah, dan ikhlas. Kerangka model yang dicadangkan menawarkan Islamisasi kepada pedagogi sekular dengan mengembalikan hati sebagai pusat pendidikan, agar lahir pelajar yang berkesedaran kerohanian, cerdas intelek, matang emosi dan berkeperibadian luhur.
						
							









