Peranan rukun iman dalam membina daya tahan menghadapi ketagihan digital
Keywords:
Ketagihan digital, Psikospiritual Islam, Kaedah Imaniyyah, Tazkiyyah al-Nafs, Daya Tahan SpiritualAbstract
Perkembangan pesat teknologi dalam era digital mencetuskan ledakan penggunaan teknologi yang memberikan pelbagai manfaat kepada masyarakat global. Namun, penggunaan digital secara berlebihan tanpa kawalan menyebabkan ketagihan digital dalam kalangan penguna. Ketagihan digital menjejaskan kesejahteraan diri pengguna merangkumi dimensi biologi, psikologi, sosial dan spiritual. Memandangkan ketagihan digital yang berlaku merentasi pelbagai demografi pengguna daripada latar belakang sosiobudaya yang berbeza, maka pendekatan pemulihan yang berkesan perlu mempertimbangkan aspek budaya dan spiritual individu. Maka objektif kajian ini menganalisis kaedah Imaniyyah dalam pemulihan ketagihan digital. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif menerusi analisis kandungan terhadap sorotan literatur. Dapatan kajian mensintesiskan kaedah Imaniyyah yang berasaskan enam rukun iman berperanan sebagai asas spiritual dalam memperkukuh daya tahan bagi pemulihan daripada ketagihan digital. Selain itu, kaedah ini turut mengintegrasikan elemen Tazkiyyah al-Nafs merangkumi proses takhalli, tahalli dan tajalli bagi membentuk akhlak mahmudah. Kajian ini merumuskan bahawa kaedah Imaniyyah berpotensi membentuk daya tahan diri dan menjadi asas konseptual bagi pembangunan intervensi pemulihan ketagihan digital berlandaskan keimanan.
						
							









