Pengukuhan kepimpinan Islam dalam teknologi hijau: Satu strategi ke arah pembangunan lestari
Keywords:
Kelestarian, kepimpinan Islam, maqasid syariah, pembangunan lestari, teknologi hijauAbstract
Teknologi hijau merujuk kepada aplikasi, sistem, dan peralatan yang menekankan kelestarian alam sekitar serta pengurusan sumber secara mampan. Ia menjadi peluang strategik untuk memastikan alam terus dipelihara dan dipulihara secara berkesan. Walau bagaimanapun, kejayaan pelaksanaan teknologi hijau memerlukan kepimpinan yang cekap, berwawasan, dan berpandukan prinsip etika yang kukuh bagi mencapai matlamat pembangunan lestari yang mengambil kira keperluan generasi masa hadapan. Kepimpinan Islam, berteraskan prinsip maqasid syariah, menawarkan pendekatan menyeluruh yang menitikberatkan kesejahteraan manusia, kelestarian alam, dan penggunaan sumber secara berhemah. Nilai-nilai ini selari dengan objektif teknologi hijau yang menekankan pengurangan kesan negatif terhadap alam sekitar melalui inovasi, kecekapan tenaga, dan pengurusan sumber yang bertanggungjawab. Kajian ini membincangkan strategi pengukuhan peranan kepimpinan Islam dalam mengarusperdanakan teknologi hijau, termasuk penerapan nilai amanah, kesederhanaan, dan tanggungjawab sosial dalam perancangan, pelaksanaan, serta pemantauan projek berteknologi hijau. Analisis dilakukan melalui tinjauan literatur bagi menilai keberkesanan penerapan nilai Islam dalam memacu inovasi mesra alam. Dapatan menunjukkan bahawa penyelarasan dasar, pendidikan, dan industri berasaskan prinsip Islam berpotensi memperkukuh adaptasi teknologi hijau, sekali gus memacu pencapaian pembangunan lestari di peringkat nasional dan global.
						
							









