Dinamika hubungan antara agama di Malaysia: Tinjauan kritikal terhadap isu-isu kontemporari
Keywords:
Dinamika, Hubungan, Agama, Malaysia, KontemporariAbstract
Malaysia adalah sebuah negara dengan kepelbagaian etnik dan agama yang mencipta cabaran unik dalam menjaga keharmonian sosial. Islam sebagai agama dominan, dianuti oleh 63.7% daripada jumlah peduduk, diikuti oleh Buddha, Kristian, dan Hindu, interaksi antara pelbagai agama sering kali mencetuskan isu-isu sensitif. Sejarah hubungan antara agama di Malaysia telah melalui pelbagai fasa, dari prapenjajahan hingga era moden, yang membentuk dinamika sosial yang cukup kompleks. Objektif kajian ini adalah untuk menganalisis isu-isu semasa yang sering mencetuskan ketegangan antara agama di Malaysia. Metodologi kajian melibatkan analisis terhadap laporan media dari tahun 2020 hingga 2024. Hasil kajian menunjukkan bahawa isu-isu pertukaran agama anak mualaf, penggunaan kalimah Allah, lawatan ke rumah ibadat bukan Islam, dan penglibatan umat Islam dalam aktiviti di rumah ibadat bukan Islam sering kali menimbulkan perdebatan yang mencabar keharmonian sosial. Kajian ini menekankan kepentingan dialog antara agama sebagai mekanisme untuk memupuk persefahaman dan menghormati kepelbagaian. Justeru, pendekatan yang seimbang dan inklusif diperlukan untuk memastikan keharmonian dan kesejahteraan sosial dalam konteks negara yang berbilang agama ini sentiasa dipelihara.